Lucut hak bot nelayan asing penceroboh

Foto Rizal Tahir

KOTA BHARU: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan nelayan asing sekiranya masih menceroboh kawasan perairan negara.

Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, berkata ekoran daripada itu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penceroboh.

Advertisement

Beliau berkata demikian kepada media selepas melupuskan bot rampasan nelayan asing yang menceroboh di perairan negara.

Tiga bot nelayan asing yang dirampas dan dilucutkan hak di bawah Akta Perikanan 1985 dilupuskan di perairan Kuala Besar, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, dua bot jenis pukat jerut dan sebuah pukat tunda ditenggelamkan sebagai tukun tiruan kira-kira lima batu nautika di perairan Kuala Besar, di sini yang mengambil masa hampir sejam.

Abdullah berkata, kaedah penenggelaman sebagai tukun tiruan itu adalah bagi tujuan pemuliharaan sumber stok ikan.

Jelasnya, kesan daripada pencerobohan nelayan asing, negara mengalami kerugian hasil laut dianggarkan berjumlah RM6 bilion setahun akibat gejala tersebut.

“Ianya telah memberi kesan kepada ekonomi rakyat dan negara Malaysia jika tidak dibanteras,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/7/2020