PAS Lumut terima 110 borang ahli baharu DHPP

LUMUT: Sokongan daripada kaum India kepada PAS terus meningkat tidak berbelah bahagi apabila seramai 110 orang telah menyerahkan borang memohon keahlian Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

Advertisement

Borang mereka telah disampaikan oleh Dato’ Seri Kdr (B) Dr. Kunhikannan Krishnan yang mengetuai serahan kepada Yang Dipertua PAS Lumut, Rosli Abd Rahman di Pejabat PAS Kawasan Lumut, di sini pagi semalam.

Dalam majlis ini, Rosli telah menyebut dengan jelas bahawa dasar PAS adalah Islam di mana mengajar umatnya untuk menjaga dan memelihara hak bukan-Muslim yang kebajikan mereka tidak sesekali dipinggirkan, tanpa mengira bangsa dan agama.

“Oleh sebab itu, PAS telah menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sebagai wadah bagi mendekatkan masyarakat non-Muslim dengan konsep keadilan Islam untuk semua lapisan masyarakat khususnya di Parlimen Lumut,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis penyerahan ini, Pengerusi DHPP Negeri Perak, Suria Narayanan yang menyatakan amat terharu dengan sokongan dari masyarakat India di mana semakin mempercayai PAS sebagai pilihan terbaik untuk membela mereka.

Dalam ucapan, beliau telah menyoroti sejarah awal penubuhan DHPP yang bermula dengan nama Kelab Penyokong PAS sehingga tertubuhnya DHPP sekarang dengan telah disertai lebih 50,000 orang. – HARAKAHDAILY 26/7/2020