Pemuda Bangi seru luaskan agenda BPMS

BANGI: Mesyuarat Agong Tahunan (MAT) Dewan Pemuda PAS Kawasan Bangi telah berlangsung dengan jayanya di Bangi Convention Centre di sini pagi semalam.

Advertisement

MAT dihadiri lebih 90 perwakilan dimulakan dengan perbarisan Jabatan Amal Kawasan Bangi, disusuli nyayian lagu Negaraku dan lagu PAS dengan kehadiran wakil dari Umno, Ikatan dan Armada.

Ketua Pemuda PAS Bangi, Khairul Nadzir Helmi dalam ucapan mengingatkan perwakilan mengenai landskap baharu politik negara yang memerlukan tindakan matang apatah lagi PAS kini adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

“Ketahuilah setiap gerak geri kita sebagai sebuah kerajaan diperhati oleh segenap lapisan masyarakat. Justeru, saya menyeru kepada semua ahli untuk mendahului politik matang dalam setiap tindakan,” ujar Khairul Nadzir.

Perwakilan bersemangat mendengar ucapan walaupun memakai pelitup muka sepanjang masa mematuhi operasi prosedur standard (SOP) yang ditetapkan.

Mesyuarat kali ini menyaksikan pelancaran dan penyerahan watikah perlantikan Naqib program Ithna Asyara Naqiban peringkat Pemuda PAS Bangi.

Juga diadakan upacara Pemakaian Pangkat Jabatan Amal Bangi dan penyampaian anugerah khas Dewan Pemuda PAS Kawasan Bangi 2020.

Kemuncak MAT ini ialah penzahiran kesiapsiagaan Pemuda dengan Pelancaran Jentera PRU Pemuda PAS Bangi yang disempurnakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Mohamad Sukri Omar.

Ustaz Sukri dalam taujihat beliau menekankan permuafakatan penting dalam memastikan jentera dari peringkat akar umbi hingga pimpinan teratas bergerak seiring dengan matlamat parti. – HARAKAHDAILY 26/7/2020