Siapakah gerangan konduktor orkestra PAN?

SEPERTI hujan yang pasti akan turun selepas guruh kedengaran, begitulah juga kita pasti akan mendengar suara-suara sumbang daripada pemimpin Amanah (PAN) ini yang juga merupakan anak kepada pemimpin tersohor PAS iaitu Allahyarham Ustaz Fadzil Noor.

Ternyata, kuah tidak semestinya tumpah ke atas nasi, sifat berhati-hati dan bersangka baik yang menjadi sinonim kepada peribadi ayahanda beliau tidak diwarisi olehnya secara semulajadi.

Advertisement

Perikatan Nasional (PN) baru berusia 6 bulan sebuah perikatan yang tertubuh untuk menyelamatkan Malaysia yang telah kehilangan kerajaan akibat perletakan jawatan PM ke-7 (yang juga merupakan bekas PM ke-4 dan mungkin mahu menjadi bakal PM ke-9).

Tatkala negara berdepan dengan krisis pandemik Covid-19 yang meruncing, Pakatan Harapan (PH) terus berkelahi dan bertelagah antara satu sama lain.

Perbalahan yang berpanjangan ini berkesudahan dengan runtuhnya kerajaan PH, akibat perebutan kuasa antara dua individu – rentetan permusuhan yang berusia puluhan tahun lamanya.

Baru 6 bulan PN memerintah – mengambil kira kekangan kerajaan dalam keadaan negara mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sosok bernama Faiz Fadzil ini cuba menangguk di air yang keruh dan menjadi batu api.

Seperti sebuah orkestra, pemimpin muda PAN ini meniup seruling beliau seraya konduktor memberikan isyarat kepadanya.

Penuh tekun dan disiplin, seruling ditiup memainkan melodi yang diarahkan tanpa cacat atau cela.

Konduktor orkestra tentu bangga mempunyai seorang yang amat setia dan taat seperti saudara Faiz Fadzil ini. Penonton dapat melihat bayang konduktor dan gerakan tangan yang penuh emosi dan autoritatif.

Penonton juga dapat meneka siapa gerangan konduktor tersebut namun wajahnya masih belum dapat ditatap dengan jelas. Konduktor orkestra ini lebih selesa untuk beroperasi dalam kerahsiaan.

Kenapa Faiz Fadzil begitu ghairah untuk menembak PAS dengan isu RUU355?Sedangkan beliau tahu yang fokus negara ketika ini adalah untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kemudaratan yang amat besar daripada pandemik Covid-19.

Faiz Fadzil memilih untuk berpolitik dan memainkan isu yang beliau tahu akan menimbulkan persepsi yang kurang enak terhadap PAS.

Isu RUU355 ini bukanlah sesuatu yang asing, saban tahun kita selalu mendengar pemimpin DAP yang memainkan isu ini, tetapi entah bagaimana, sekarang baton ini sudah diserahkan kepada PAN – mungkin suatu yang terjadi secara kebetulan. Mungkin.

Faiz Fadzil tanpa berselindung memulakan langkah dengan kenyataan beliau yang merujuk terus kepada ‘Orang Melayu Islam’, mungkin pada pandangan beliau, hanya orang Melayu Islam yang prihatin kepada isu RUU355 ini dan tidak orang Islam daripada kaum-kaum yang lain.

Beliau dengan jelas telah mendedahkan bahawa fokus PAN adalah hanya Melayu Islam, yang secara ‘kebetulan’ juga merupakan pendokong kuat Muafakat Nasional.

Bacaan politik mudah adalah, Faiz Fadzil ingin menanam gelisah dan wasangka dalam benak penyokong-penyokong Muafakat Nasional.

Faiz Fadzil masih terbawa-bawa sikap dan perangai yang membawa kepada kejatuhan PH setelah 22 bulan memerintah.

Sikap terlalu fokus kepada politik dan terlalu banyak berpolitik berbanding memerintah.

Beliau gagal untuk melihat yang PN kini sibuk memerintah dan memastikan negara terselamat daripada kesan buruk dari segi ekonomi dan kesihatan umum akibat pandemik Covid-19.

Benar RUU355 ini adalah penting dan menjadi isu fokus umat beragama Islam di negara kita, tetapi setiap isu ada masa dan ketika yang sesuai untuk diketengahkan.

Seorang pemimpin yang mengangkat diri sebagai pemimpin masa hadapan untuk PAN perlu tahu untuk meletakkan sesuatu isu berdasarkan keutamaan.

Isu RUU355 adalah penting, tetapi isu Covid-19 dan memulihkan ekonomi adalah lebih ‘time sensitive’.

Jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary adalah jelas dan mudah difahami.

Kerajaan akan melihat kepada isu RUU355 ini mengikut garis-garis panduan yang telah termaktub di dalam Perlembagaan dan pertimbangan yang menyeluruh akan diambil.

Sebagai seorang yang beragama Islam, mungkin lebih elok jika Faiz Fadzil boleh mengambil sikap bersangka baik dan membiarkan perkara yang lebih utama dahulu diselesaikan.

Mudarat Covid-19 dan kesan sampingan kemerosotan ekonomi adalah lebih utama.

Adakah Faiz Fadzil lebih sanggup berdebat mengenai RUU355 di dalam Parlimen tatkala kebajikan rakyat diabaikan, kadar pengangguran semakin meningkat, kes aktif Covid-19 gagal dikurangkan, dan kematian akibat Covid-19 semakin bertambah?

Pakatan Harapan telah diberikan peluang untuk memerintah dan gagal untuk memanfaatkan peluang tersebut.

Perikatan Nasional adalah kerajaan yang sah dan sedang gigih berusaha untuk menyelamatkan negara ini daripada krisis yang tidak pernah kita lalui.

Lebih elok jika Faiz Fadzil menyeru rakan seperjuangan untuk menunjukkan solidariti dan patriotism dalam menyokong dan mengembalikan fokus rakyat kepada melawan krisis pandemik ini.

Menuduh parti yang didominasi orang Cina iaitu MCA menjadikan PAS – yang menjadi wadah politik Melayu Islam kedua terbesar di negara ini- sebagai khadam adalah bersifat provokatif dan boleh memecahbelahkan perpaduan negara.

Perpaduan yang kita amat perlukan terutamanya di dalam keadaan negara berdepan krisis.

Faiz Fadzil, sebagai peniup seruling sebuah orkestra, beliau perlu mengikut arahan konduktor orkestra, itupun jika beliau hanya ingin kekal menjadi seorang peniup seruling – mengikut rentak dan melodi yang digubah oleh orang lain.

Malaysia Sejahtera!

SHAHIR ADNAN
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Parti IKATAN Bangsa Malaysia – HARAKAHDAILY 26/7/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.