Covid-19: Gagal patuh SOP, risiko gelombang ketiga

KUALA LUMPUR: Gelombang ketiga Covid-19 boleh terjadi jika rakyat gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu yang telah dikenalpasti pada minggu lalu disifatkan seperti ‘bara’.

Manakala ketidakpatuhan kalangan rakyat terhadap SOP diumpamakan seperti ‘bahan api’.

Advertisement

Ujarnya, jika ‘bara’ dan ‘bahan api’ bertemu tidak mustahil pertambahan kes boleh berlaku menyebabkan terjadi gelombang ketiga Covid-19.

Beliau berkata, jika keadaan itu berlaku fasiliti kesihatan di Malaysia tidak mampu merawat bilangan pesakit yang ramai.

Sehubungan itu, Noor Hisham mengingatkan rakyat tidak mengambil ringan terhadap SOP yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak satu kes sudah sembuh dari jangkitan Covid-19 dan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 8,601 atau 96.6 daripada keseluruhan kes

Menurutnya, sebanyak tujuh kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 8,904 keseluruhan kes.

“Daripada tujuh kes tersebut, tiga kes merupakan penularan tempatan yang melibatkan kesemua kes adalah warganegara Malaysia.

“Empat kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dilaporkan yang melibatkan tiga warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang berkahwin dengan warganegara,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Demikian itu, menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 179 kes.

Hingga kini, tiada kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya lagi, tiada kematian baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal 124 atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang direkodkan. –HARAKAHDAILY 27/7/2020