Giat jejak ‘First Time Voter’ menuju PRU15

INDERA MAHKOTA: PAS Cawangan Bandar Damansara telah menjalin pengenalan dengan bakal-bakal pengundi pertama kali menerusi program ziarah khas yang dijalankan dari rumah ke rumah, di sini semalam.

Advertisement

Lawatan dipimpin Ketua PAS Bandar Damansara, Syaharul Faizal yang juga Ketua Kelab Rukun Tetangga dan Ketua Muslimat PAS Bandar Damansara, Ustazah Esah Kuriani sekali gus menjejak para bakal pengundi tersebut.

Sempena lawatan tersebut juga, mereka yang dikunjungi telah dihadiahkan senaskah al-Quran sumbangan NGO Iman Care dengan kerjasama PAS Kawasan Indera Mahkota.

Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Indera Mahkota, Ustazah Zainab Mohamad berkata, aktiviti seumpama ini perlu kerap dibuat agar perhatian kepada jiran tetangga dapat diberikan serta diperhatikan.

“Sambil melawat, sambil bertanya khabar dan ambil berat keadaan jiran. Kita dapat tahu jiran kita yang MOSWAY. Kita kena banyak lagi buat lawatan begini,” galak beliau.

Sementara itu, ADUN Beserah, Andansura Rabu berkata, menjejak ‘First Time Voter’ (FTV) ini perlu diadakan secara berterusan di semua Cawangan supaya dapat memberi kefahaman kepada mereka yang pertama kali bakal mengundi.

“Supaya mereka bukan sekadar mendaftar tapi kena faham dan ambik cakna terhadap politik. Yang kedua, kita nak mereka faham mengenai perjuangan PAS dan boleh menyokong PAS dalam pilihan raya akan datang.

“Di samping tu, kita boleh bersilaturrahim dengan Cawangan. Sekurang-kurangnya mereka tahu, di tempat mereka ada PAS yang boleh dibuat rujukan.

“Menjejaki FTV ni juga perkara yang kita tekankan untuk mendapatkan pengundi-pengundi baru yang lain. Kadang-kadang dia ada kawan-kawan yang sebaya dengannya yang belum mendaftar lagi.

“Jadi kita dapat mencari maklumat tentang rakan-rakan FTV ni untuk pastikan mereka mendaftar. Buat masa ni, kita tiada pilihan lain. Terpaksa menjejak dan mengurus mereka untuk yang pertama mendaftar. Kalau dah daftar, dia dah ada siapa dalam kepala dia untuk memberi sokongan,” katanya.

Beliau berharap ia menjadi aktiviti berkala yang dengannya data-data dikumpulkan, dimanfaatkan sepenuhnya dan seterusnya dikemaskini dalam rekod. – HARAKAHDAILY 27/7/2020