Haiwan korban dihadkan 10 ekor satu kariah

Gambar sekadar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk mengehadkan jumlah haiwan sembelihan bagi ibadah korban kepada sepuluh ekor bagi setiap masjid atau kariah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata namun bergantung kepada keluasan tapak dan lokasi penyembelihan bagi sesuatu tempat tersebut.

Advertisement

“Kalau lembu misalnya, had maksimum sepuluh ekor lembu iaitu haiwan yang disembelih di masjid, surau dan lokasi yang dibenarkan oleh Pejabat Agama Daerah dan pihak berkuasa tempatan.

“Had ini pun tertakluk pada keluasan lokasi tersebut. Kalau (tapak) luas, boleh sampai sepuluh ekor tapi kalau kawasannya sempit yang memuatkan hanya enam ekor maka hanya enam ekor sahaja yang dibenarkan,” jelasnya dalam sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini, hari ini.

Ismail Sabri menambah, walaupun dibenarkan melakukan penyembelihan di tempat-tempat tersebut, kerajaan menggalakan agar penyembelihan dilakukan di rumah-rumah penyembelihan di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan swasta.

“Di pusat perkhidmatan veterinar terdapat 28 pusat penyembelihan, manakala swasta ada 32 pusat penyembelihan. Jadi, lebih baik dan digalakkan melakukan penyembelihan di pusat-pusat penyembelihan,” jelasnya.

Malah katanya, jumlah penyembelih serta pengurusannya dan haiwan sembelihan juga dihadkan dengan nisbah 20:1 bagi mengelakkan penularan dan penyebaran wabak Covid-19.

“Jumlah kehadiran sewaktu ibadah korban dijalankan adalah nisbahnya 20 orang untuk seekor haiwan. Kalau ada lima ekor yang disembelih maka boleh sampai 100 orang, kalau 10 ekor, maksimum sehingga 200 orang.

“Jumlah ini termasuklah yang menyembelih, melapah, memotong dan yang mengedarkan daging sembelihan tersebut,” katanya.

Menurutnya lagi, sebarang bentuk perhimpunan seperti jamuan makan dan kenduri tidak dibenarkan sama sekali kecuali dengan makanan yang berbungkus.

Seterusnya bagi jamuan di rumah, pengunjung yang berziarah ke rumah tidak boleh melebihi daripada 20 orang pada satu-satu masa.

Kemudian, bagi individu yang sedang menjalani kuarantin di rumah, dilarang sama sekali untuk keluar ke rumah untuk mengerjakan solat hari raya di masjid ataupun ziarah menziarahi.

Sepanjang empat hari perayaan itu berlangsung, kata Ismail Sabri, pihak polis akan memantau secara rapat dan ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 sama seperti Hari Raya Aidilfitri yang lepas. – HARAKAHDAILY 27/7/2020