Kayuhan santai erat PAS dan masyarakat

TELUK INTAN: Alternative Cycling Club KMKM di bawah Dewan Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan buat julung kalinya bekerjasama dengan Kelab Basikal Tua Gerotak Besi GB menganjurkan Kayuhan Santai Basikal Tua melalui beberapa tempat menarik, di sini pagi semalam.

Advertisement

Kayuhan tersebut telah melibatkan 17 Ahli Jawatankuasa Kayuhan Masjid Ke Masjid KMKM dan Kelab Basikal Tua GB termasuk satu penyertaan dari Batu Gajah.

Program pagi itu diketuai oleh Timbalan Yang Dipertua PAS Teluk Intan, Rostam Malek yang juga Pengerusi KMKM, selain turut serta Ketua Pemuda, Ustaz Firdaus Ziyauddin bersama beberapa Ahli Jawatankuasanya.

Rostam berkata, program kayuhan itu bertujuan agar masyarakat menghargai basikal klasik yang suatu waktu dahulu menjadi kenderaan utama kepada manusia.

“Secara tidak langsung, melalui program sebegini, hubungan antara PAS dan masyarakat dapat dijalinkan,” katanya lagi.

Selain itu, beliau menyatakan KMKM bukan sahaja menganjurkan aktiviti kayuhan riadah semata-mata tetapi pernah menganjurkan Kayuhan Masjid ke Masjid, Kayuhan Prihatin Rakyat dan Kayuhan Hari Malaysia.

Dalam Kayuhan Santai Basikal Tua, peserta mengayuh basikal di sekitar bandar Teluk Intan dan singgah di tempat-tempat menarik seperti Pasar Karat, Menara Condong Teluk Intan, bangunan Mahkamah Lama, gate kereta api dan jeti bot Jelajah Sungai Perak.

Menurut Setiausaha Kelab Basikal Tua GB, Norman Hakim, beliau berharap dapat bekerjasama lagi dengan KMKM dalam menganjurkan kayuhan basikal klasik.

Program kayuhan yang bermula jam 7:30 pagi dari Kampung Bahagia telah berakhir semula di lokasi yang sama pada jam 11:30 pagi. – HARAKAHDAILY 27/7/2020