Kedah-NCIA bangunkan ekonomi pasca-COVID-19

Kedah

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan terus bekerjasama rapat bagi membangunkan ekonomi negeri ini untuk kesejahteraan rakyat terutama dalam pasca pandemik COVID-19.

Advertisement

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerjasama itu merangkumi pemacuan ekonomi yang mampan dan proaktif, selain daripada rangsangan ke atas ekonomi melalui pembangunan strategik, dorongan pelaburan dan program pemerkasaan rakyat.

“Pendekatan ini telah dirangka khas secara holistik dan inklusif di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) supaya tiada masyarakat yang tersisih dari arus pembangunan. 

“Dasar dan pembaharuan yang dilaksanakan untuk pasca COVID-19 akan memperkasakan ekonomi wilayah ini agar kekal berdaya tahan, dengan penyertaan semua lapisan masyarakat demi mengecapi kesejahteraan bersama,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Muhammad Sanusi sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) Kedah yang turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Pelan Pembangunan Strategik bagi menangani isu-isu pasca COVID-19 di Kedah juga telah dibincangkan pada mesyuarat itu dan dipersetujui untuk pelaksanaan.

Sementara itu, Jebasingam dalam kenyataannya berkata NCIA telah membentangkan pelan pasca COVID-19 dengan pendekatan strategi serampang tiga mata, yang mana tumpuan diberikan kepada pembangunan infrastruktur strategik, mempercepatkan pertumbuhan pelaburan swasta serta memperkasakan rakyat.

“Fokus utama NCIA di waktu ini adalah menangani cabaran yang dihadapi oleh tenaga kerja, perniagaan dan kumpulan rentan akibat penularan wabak ini,” katanya.

Menurutnya lagi, pembangunan modal insan dan ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi juga amat kritikal dalam menyokong peralihan ekonomi ke arah aktiviti berasaskan pengetahuan, inovasi dan teknologi.

“Berlandaskan strategi serampang tiga mata, dan usaha kolaboratif ke arah pemulihan industri-industri pembuatan, logistik dan pelancongan, Kedah disasar mencapai Keluaran Dalam Negeri Kasar berjumlah RM62 bilion menjelang tahun 2027 dan terus berkembang pesat, seiring dengan ekonomi wilayah dan negara,” kata Jebasingam. – BERNAMA