Kemelut TH: Kenapa terjadi? (Siri 1)

SEKIAN lama meneliti kemelut TH sejak PH mula memerintah Malaysia pada Mei 2018. Kenapa TH? Sebab TH merupakan antara nadi ekonomi umat Islam yang memegang amanah 9.4 juta pendeposit. Pada mulanya saya tak mahu mengulas kerana banyak sangat ulasan yang telah dilontar di media cetak dan media sosial. Namun untuk memberi sedikit maklumat supaya netizen faham maka saya kuatkan hati untuk menulis.

Sebelum saya ulas harga jualan ladang yang hanya RM26,098 sehektar atau bersamaan RM10,566 seekar, hari ini saya hanya akan ulas mengenai alasan Dr. Mujahid mahu melupuskan harta Ladang TH (THP) dan Hotel dan Resort (THHR) (jual atau pindah milik atau apa saja istilah yang beliau gunakan) ialah untuk membayar hutang THP dan THHR yang semakin ‘membengkak’ namun beliau tidak menyebutkan angkanya dan siapa pemiutangnya (dengan siapa THP dan THHR berhutang).

Melalui semakan dan maklumat yang tersebar di media dan boleh didapati melalui beberapa link, hutang terbesar THP dan THHR ialah kepada induknya iaitu Tabung Haji (TH). Hutang THP sebanyak 75 peratus adalah dari TH. Apakah TH begitu mendesak untuk anak syarikatnya, THP dan THHR membayar hutang berkenaan? Jika pun TH mendesak tidakkah boleh dibincangkan terma pembayarannya kerana ia perundingan antara induk dengan anak syarikat. Sedangkan dengan bank pun boleh dirunding untuk penstrukturan semula hutang, inikan pula dengan anak syarikat.

Advertisement

Persoalannya, apakah dengan menjual aset-aset berkenaan yang membuat keuntungan selama bertahun-tahun kecuali semasa semasa pemerintahan PH, hutang dapat diselesaikan? Jika pun dapat diselesaikan apakah jaminan untuk anak-anak syarikat ini meneruskan operasi dan mendapat pulangan seperti sebelumnya? Anak-anak syarikat ini bukan ditutup kerana ia masih beroperasi. Jika aset-aset yang sebahagiannya menunjukkan keuntungan telah dijual, bagaimana THP dan THHR mahu menjana keuntungan dengan baki aset yang ada?

Penjualan THHR mungkin (saya nyatakan, mungkin) boleh diterima dalam keadaan industri perhotelan yang mengalami masalah sejak beberapa tahun lalu (bukan hanya kerana COVID-19), namun masih perlu dikaji sejauh mana keperluan menjualnya akan dapat menyelamatkan THHR. Tetapi penjualan ladang THP yang kerananya akan mengakibatkan aset ladang susut sebanyak 75 peratus merupakan langkah yang amat tidak bijak walau dalam keadaan apa sekalipun kecuali THP ada perancangan untuk menggunakan hasil jualan untuk membeli tanah-tanah baru. Namun nak beli tanah macam mana jika hasil jualan diguna untuk membayar hutang?

Di sini timbul persoalan, siapakah yang menasihati Dr. Mujahid untuk membuat keputusan berkenaan? Tak mungkin Pengurusan THP dan TH tidak memberi nasihat yang betul apabila tindakan yang akan diambil akan mengakibatkan penyusutan pemilikan tanah sebanyak 76 peratus. Jika alasan yang Dr. Mujahid beri iaitu kerana THP tidak diurus dengan baik dan TH tidak memiliki kepakaran mengurus ladang, jika ia benar, ia merupakan satu penghinaan kepada Pengurusan THP dan TH kerana TH telah terlibat dengan industri perladangan selama berpuluh tahun.

Sejak saya kenal pengurusan ladang dan mengurus ladang di tahun 1985, dan saya tinggalkan pengurusan ladang untuk menyambung pengajian dalam bidang perakaunan di US pada tahun 1993, TH sudah memiliki ladangnya sendiri dan dikenali sebagai Perbadanan Ladang-ladang Tabung Haji, yang ditubuhkan sejak 1972, kini dikenali dengan nama TH Plantation (THP). Hampir 40 tahun dan telah melalui dua kali penanaman semula masih tak cukup pengalaman? Jika Dr. Mujahid cukup bijak memahami sejarah perladangan TH, kemelut TH tak akan berlaku. Saya akan ulas mengenai harga jualan aset dalam tulisan berikutnya,.

FUAD SALLEH – HARAKAHDAILY 27/7/2020