Kemelut TH: Kenapa terjadi? (Siri 2)

SIRI 1 yang lepas, saya komen mengenai alasan Dr. Mujahid menjual atau menggadai ladang THP dan THHR tak kiralah kepada siapa pun. Itu bukan isu yang saya akan terangkan hari ini. Isu hari ini ialah mengenai harga jualan atau gadaian aset-aset berkenaan. Saya bincangkan harga jualan ladang THP dulu.

Sehingga hari ini yang ada pengesahan dari kedua-dua pihak ialah harga jualan ladang THP. Dr. Mujahid dalam tulisan di tweeternya menempelak Timbalan Menteri di JPM kerana menyebut tanah berkenaan dijual pada harga RM4,500/ha. Beliau menyatakan dalam tulisannya, ladang berkenaan sebenarnya dijual pada harga RM26,098/ha. Yang ini jelas Dr. Mujahid keliru atau sengaja cuba mengelirukan kerana angka RM4,500 yang disebut oleh Timbalan Menteri JPM adalah untuk ‘unplanted’ area, bukan kesemua tanah. Tak apa, kita tinggalkan Dr. Mujahid dengan kekeliruannya.

Advertisement

Mari kita gunakan harga yang Dr. Mujahid nyatakan untuk menilai sama ada harga berkenaan berpatutan atau tidak. (Harga jurunilai ialah RM264 juta tetapi dijual pada harga RM170 juta, 36 peratus lebih rendah dari nilai semasa).

Agak aneh apabila aset berupa tanah ladang dijual pada harga lebih rendah daripada harga penilai bertauliah. Jika dalam keadaan terdesak pun biasanya harganya akan dikurangkan sekitar 10-15 peratus, bukan 36 peratus. Harga yang ditawarkan kepada pembeli bukan-Muslim (TAMACO) untuk ladang seluas 6,513.8 ha (16,089.9 ekar) ialah RM26,098/ha (RM10,566 seekar) berbanding harga penilaian semasa RM40,529.34/ha (RM16,409 seekar) .

Adakah ia harga yang menasabah? Apa asas harga yang Dr. Mujahid guna untuk menjual ladang THP pada harga begitu rendah?

Saya senaraikan hasil carian di beberapa laman sesawang untuk jualan ladang kelapa sawit (lebih 1,000 ekar).

Kuching – 1,000 ekar: RM65 juta (RM65,000/ekar = RM160,550/ha)
Betong – 12,805 ekar: RM320.125 juta (RM25,000/ekar = RM61,750/ha)
Miri – 8,500 ekar: RM280 juta (RM32,941/ekar = RM81,364.71/ha)

Kita tinggalkan Kuching yang harganya terlalu tinggi kerana lokasi. Kita ambil harga Betong dan Miri yang ditawarkan antara RM25,000 – RM33,000 seekar bersamaan RM61,750 – RM81,365/ha).

Mari bandingkan dengan ladang yang Dr. Mujahid tawarkan kepada TAMACO iaitu RM10,566/ekar. Oleh kerana ada kawasan tanah yang tidak ditanam (unplanted) atas sebab apa sekalipun, jika diberi diskaun sebanyak 25 peratus daripada harga terendah RM25,000 (tanah di Betong) harganya masih berada pada kedudukan RM18,750/ekar. Jika Dr. Mujahid menggunakan asas harga yang diberi oleh jurunilai bertauliah RM264 juta pun ia masih menghasilkan RM16,408/ekar bersamaan 65 peratus daripada harga terendah RM25,000 jika harga di Betong dijadikan perbandingan.

Saya perlu menerima pakai nilai jurunilai bertauliah kerana saya yakin ia dilakukan dengan teliti dan penilaiannya juga tidak jauh berbeza dengan nilai ladang yang sedang ditawarkan untuk dijual sekarang.

Persoalannya ialah kenapa Dr. Mujahid menawarkan ladang THP kepada TAMACO pada harga RM10,566/ekar?

Dr. Mujahid perlu menjawab dan menjelaskan asas harga rendah yang ditawarkan itu. Apakah ada tangan-tangan ghaib yang mahukan tanah berkenaan hingga tergamak Dr. Mujahid menggadaikannya dengan harga yang begitu rendah? Jika Dr. Mujahid tahu asas menentukan nilai, kemelut ini boleh dielakkan. Saya akan sambung ulasan dalam siri ke-3 nanti.

FUAD SALLEH – HARAKAHDAILY 27/7/2020