PAS Shah Alam sedia akur pelan PRU15

SHAH ALAM: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Shah Alam telah berlangsung dalam suasana berbeza dari tahun-tahun sebelumnya apabila setiap perwakilan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19.

Advertisement

Majlis kekal berlangsung dalam semangat penuh memberangsangkan menyerlahkan sokongan dan tanggungjawab perwakilan terhadap amanah perjuangan walaupun masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Yang DiPertua PAS Shah Alam, Ustaz Ahmad Dasuki Abd Rani menekankan bahawa ahli akar umbi mesti bersiapsiaga untuk menghadapi kemungkinan PRU mengejut yang ramai penganalisis politik meramalkan bakal diadakan Oktober hingga Disember ini.

“Kesiapsiagaan bukan sahaja dari gerak kerja, tetapi juga mental. Perlunya setiap ahli, pendukung dan penyokong PAS Shah Alam pasakkan dalam minda dan jiwa mereka betapa PAS kini bergerak dalam gabungan bernama Muafakat Nasional.

“Tiada istilah PAS bergerak secara solo sepertimana PRU14 lalu,” ujar beliau pada MAT yang dirasmikan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali itu di D’Tahta I-City, di sini semalam.

Dr Khairuddin dalam ucapannya menekankan bahawa perkara berkaitan agihan kerusi antara rakan komponen dalam Perikatan Nasional perlu diserahkan kepercayaan yang menjadi tanggungan berat pucuk pimpinan menentukannya.

Seluruh ahli, pejuang, pendukung dan penyokong PAS serunya, hendaklah walak, akur dan taat kepada keputusan pucuk pimpinan parti agar usaha menegakkan Islam menerusi wadah politik akan tercapai.

Hadir sama pada majlis ini adalah Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Dato’ Azhari Dato’ Saari. – HARAKAHDAILY 27/7/2020