Pemutihan nelayan zon A seluruh negara

DUNGUN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan melakukan proses pemutihan nelayan zon A (kategori pesisir pantai), di seluruh negara untuk memastikan semua nelayan berdaftar dan mempunyai lesen yang sah.

Advertisement

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, proses pemutihan itu juga bagi memudahkan golongan nelayan menerima bantuan dan kemudahan yang sewajarnya (seperti elaun sara hidup dan subsidi kerajaan yang lain).

“Proses pemutihan ini akan dilakukan dalam masa terdekat…bukan sahaja nelayan di Terengganu, malah masih ramai nelayan di negeri lain, juga tidak berdaftar.

“Ada juga nelayan yang mempunyai lesen ini namun sudah tidak aktif, di situ wujudnya keperluan untuk melakukan proses pemutihan tersebut.

“Melaluinya juga kita akan dapatkan sistem pangkalan data yang lengkap, untuk semua nelayan zon A seluruh negara,” katanya selepas lawatan ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun di sini semalam.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata, proses pemutihan itu akan memberi manfaat kepada hampir 800 nelayan pesisir pantai di Terengganu.
 
“Bagi pihak kerajaan negeri, pendaftaran lesen untuk nelayan pesisir pantai ini adalah isu lapuk yang perlu diselesaikan segera, jadi kita dah wujudkan satu jawatankuasa khas untuk mempercepatkan prosesnya.

“Kita dah angkat permohonan untuk mendaftarkan lesen 800 nelayan ini kepada kementerian dan berterima kasih atas keprihatinan dan kerjasama yang diberikan dalam mempermudahkan urusan ini.

“Malah kita dimaklumkan Terengganu, adalah negeri pertama yang berjaya menyelesaikan pendaftaran ini,” katanya.

Dr Azman yang juga ADUN Jabi berkata, pendaftaran lesen nelayan itu juga secara tidak langsung akan meningkatkan rekod pendaratan ikan di jeti yang berdaftar di Terengganu.

“Sebelum ini, hasil tangkapan tidak direkodkan kerana ia didaratkan di jeti yang tidak berdaftar sedangkan hasil tangkapan sebenar jauh lebih tinggi berbanding jumlah data yang direkodkan,” katanya. – BERNAMA