Agenda PAS tidak terhenti biarpun menangi politik

BATU: Perjuangan PAS bukan baharu, tetapi telah hampir tujuh dekad mengangkat agenda untuk menegakkan syariat Allah menerusi sektor tarbiyah, dakwah dan siyasah yang digerakkan.

Advertisement

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor berkata, hasil daripada perjuangan ikhlas generasi dahulu, hari ini PAS sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan memerintah.

Jelas beliau, hal pentadbiran yang merupakan bahagian daripada politik merupakan perkara utama dalam sesebuah kerajaan di mana perkara ini akan menyempurnakan tugas kekhalifahan.

“Peristiwa pemilihan Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah umat Islam setelah kewafatan Rasulullah S.A.W di Saqifah Bani Sa’idah dalam keadaan jenazah belum disemadikan menunjukkan kepada kita pentingnya kepimpinan dalam Islam.

“Allah juga turut menekankan dalam al-Quran asbab manusia dijadikan adalah untuk kekhalifahan di muka bumi. Tugas khalifah adalah untuk menegakkan agama dan mentadbir alam dengannya,” ujar beliau.

Pun begitu terangnya, PAS tidak hanya berfokus kepada siyasah atau politik semata-mata, namun amat menekankan bersama aspek tarbiyah dan dakwah dalam perjuangannya biarpun telah berkuasa memerintah.

Kupasnya, tarbiyah PAS telah bermula sejak kecil menerusi PASTI yang kini menjadi pilihan ramai masyarakat, manakala dakwah PAS telah merentas meluas di seluruh negara dan menyentuh hati rakyat.

“Oleh itu sebagai ahli PAS kita mesti berusaha memastikan gerak kerja Islam ini terus berjalan tanpa henti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/7/2020