Bantuan Tabung Musa’adah rentasi semua

Permohonan terbuka untuk semua pihak yang terkesan Covid-19 termasuk PASTI

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM100,000 kepada pusat pendidikan pra-sekolah milik PAS, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) adalah menepati kriteria yang ditetapkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kata Menterinya, Senator Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menurut Zulkifli, Tabung Musa’adah Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disalurkan merentasi semua perkara terutamanya, mereka yang terkesan selepas Malaysia dilanda wabak pandemik itu.

Advertisement

Jelas beliau, Tabung Musa’adah juga turut disumbangkan kepada Orang Asli, nelayan, asnaf-asnaf, bahkan kepada institusi-institusi pengajian seperti sekolah, universiti dan para pelajar.

“Perbelanjaan yang kita gunakan, kita merentasi semua perkara, terutamanya ketika pandemik Covid-19 baru-baru ini, kita telah salurkan kepada orang-orang asli, kepada nelayan, kepada asnaf-asnaf, bahkan kepada sekolah-sekolah, kepada universiti-universiti, pelajar-pelajar.

“Maka, termasuk salah satunya adalah PASTI, begitu juga kepada yang lain. Maksudnya apa yang kita bagi itu mengikut permohonan dan kita bersifat terbuka termasuk kepada tadika-tadika lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Fuziah Salleh (PH-Kuantan) berhubung peruntukan yang diterima PASTI sebelum ini ketika sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Fuziah ketika mengutarakan soalan tambahan itu mempersoalkan sama ada sumbangan tersebut mempunyai kepentingan peribadi dan kepentingan politik buat Timbalan Menterinya, Ustaz Ahmad Marzuk Shaary yang mewakili PAS di dalam Dewan Rakyat.