Hijrah itu perintah Allah, bukan pelarian

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor menggesa Presiden PAN, Mohamad Sabu (Mat Sabu) menarik balik kenyataan beliau sebelum ini yang menyamakan penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W sebagai pelarian.

Menurut Riduan, kenyataan Ahli Parlimen Kota Raja itu tidak tepat dan merupakan satu penghinaan kepada Rasulullah S.A.W di mana penyataan tersebut adalah menyamai dengan sifat Orientalis Barat.

Advertisement

“Kita mohon supaya Mat Sabu menarik balik kenyataan beliau yang tidak tepat itu dan memohon maaf kepada umat Islam kerana menyamakan Nabi Muhammad S.A.W sebagai pelarian. Ini adalah kerja Orientalis Barat dan satu penghinaan kepada Nabi kita yang mulia,” tegasnya.

Mengulas lanjut, menurut Riduan, kenyataan Mat Sabu tersasar jauh dari sirah Nabi Muhammad S.A.W, malah Mat Sabu juga salah dalam fakta yang mengatakan Jaafar Abi Talib merupakan bapa saudara Nabi Muhammad.

Katanya, Mat Sabu terlalu dangkal untuk memahami sirah-sirah Nabawi di mana penghijrahan Rasulullah S.A.W adalah satu perintah Allah S.W.T dan proses penghijrahannya adalah berbeza dengan pelarian.

“Zulhijjah tahun ke-11 kerasulan baginda, Nabi Muhammad S.A.W telah mengadakan pertemuan-pertemuan dengan jemaah haji yang datang daripada Madinah.

“Tahun ke-12 kerasulan baginda, berlakulah Baiatul Aqabah iaitu perjanjian Aqabah yang pertama, di mana Nabi Muhammad S.A.W akhirnya menghantar 12 nuqaba’ (guru-guru) ke Madinah bersama-sama jemaah haji dari Madinah seperti Abdullah Ibn Makhtum dan Mus’ab bin Umair.

“Sahabat-sahabat Nabi Muhammad S.A.W telah membina markas tarbiah di Yathrib (Madinah) Baitul Qura’ dan akhirnya dakwah Islam berkembang di Madinah.

“Zulhijah tahun ke-13 kerasulan, datanglah 73 muslimin dan dua muslimat daripada Madinah ke Makkah dan berlakulah perjanjian Aqabah yang kedua dan perjanjian Aqabah itu kemudiannya bocor kepada musyrikin Makkah.

“Mereka merencanakan konspirasi jahat mereka dan akhirnya Allah S.W.T memerintahkan Nabi Muhammad SAW untuk berhijrah dan Nabi Muhammad SAW ke Madinah dengan disambut meriah sekali bersama alunan nasyid.

“Kemudian, terbentuklah Sahifah Madinah di mana Baginda Rasulullah S.A.W diangkat sebagai ketua dan pemimpin di Madinah. Ini tidak sama dengan pelarian, mana mungkin seorang pelarian begitu,” jelasnya panjang lebar ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Justeru itu, beliau menggesa agar pemimpin PAN itu memohon maaf kepada semua umat Islam atas tuduhan dan kesilapan beliau membentangkan fakta yang salah itu di Dewan Rakyat.

Semalam, Mat Sabu ketika berucap membahaskan Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menyamakan pelarian dengan penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W.

“Jangan kita anggap bahawa kita lupa Islam itu ditegakkan oleh para pelarian khasnya Nabi Muhammad S.A.W yang menjadi pelarian atau berhijrah dari Makkah ke Madinah,” kata Mat Sabu. – HARAKAHDAILY 28/7/2020