Jangan biadab dengan Rasulullah!

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Pahang mendesak Presiden PAN, Mohamad Sabu menarik semula kenyataannya menyamakan pelarian dengan peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW.

Pengerusi UMMAH Pahang Ustaz Roslan Md Esa berkata, kenyataan Ahli Parlimen Kota Raja itu sebagai biadap kerana telah merendah-rendahkan peristiwa agung penghijrahan Rasulullah.

Advertisement

Ujarnya, daripada titik tolak peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah membawa Islam sehingga sampai ke seluruh pelusuk dunia.

Sehubungan itu tegasnya, peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW tidak boleh disamakan dengan isu-isu pelarian sebagaimana yang berlaku pada hari ini.

“Bukanlah perkara yang terlalu sukar, untuk dapatkan perbezaan di antara pelarian dan penghijrahan Rasulullah SAW.

“Walaupun beliau (Mohamad Sabu) menyuarakan pembelaan terhadap pelarian, tetapi kenyataan biadap ini telah mencemarkan kemuliaan peristiwa agung, ia haruslah dikecam dan diselar.

“Berhemahlah dalam bertutur. Terlajak perahu boleh di undur terlajak kata parah padahnya,” kata Ustaz Roslan dalam satu kenyataannya, semalam.

Mohamad Sabu ketika membahaskan usul titah diraja, di Dewan Rakyat semalam mengingatkan semua pihak tidak menghina semua kategori pelarian.

Apatah lagi kata Presiden PAN itu, sejarah menyatakan agama Islam sendiri ditegakkan oleh golongan pelarian termasuk Rasulullah SAW.

“Jangan kita lupa sejarah. Jangan kita anggap kita lupa Islam itu ditegakkan oleh para pelarian, khasnya Nabi Muhammad yang menjadi pelarian atau berhijrah dari Mekah ke Madinah,” kata Mohamad Sabu di Dewan Rakyat. – HARAKAHDAILY 28/7/2020