Korban skandal pelembab udara pembasmi kuman

SEOUL, Korea Selatan: Kira-kira 14,000 orang dianggarkan meninggal dunia di Korea Selatan akibat skandal pelembap udara pembasmi kuman pada 2011, angka yang  secara kasar adalah 10 kali ganda lebih tinggi berbanding dilaporkan sebelum ini, agensi berita Yonhap memetik sebuah kajian dikeluarkan pada Isnin.

Advertisement

Jumlah orang dewasa yang maut setelah didiagnosis sebagai pesakit penyakit yang berkaitan, seperti asma dan penyakit paru-paru interstitial, dianggarkan antara 13,000 dan 16,000, menurut kajian pertama yang meneliti kematian disebabkan skandal kesihatan itu.

Kajian berkenaan berdasarkan tinjauan ke atas 15,472 individu dewasa berusia antara 19 dan 69 tahun, dijalankan Suruhanjaya Khas Penyiasatan Bencana Sosial. Margin kesalahannya adalah  1.414 peratus dan tahap keyakinan 95 peratus.

Anggarannya adalah kira-kira 10 kali ganda daripada 1,553 – jumlah individu yang telah didaftarkan sebagai mangsa skandal itu, melibatkan Oxy Reckitt Benckiser, unit tempatan pengeluar produk kebersihan Britain Reckitt Benckiser Group plc (RB).

Kes maut itu dikesan apabila empat wanita hamil meninggal dunia akibat masalah paru-paru yang tidak diketahui pada 2011.

Pihak berkuasa tempatan kemudiannya melancarkan siasatan terhadap kes itu, menyimpulkan bahawa ‘polyhexamethylene guanidine’, agen antibakteria yang digunakan dalam pembersih pelembap yang boleh membawa maut ketika disedut dalam bentuk titisan, menjadi penyebab kematian.

“Kami dengan berhati-hati menganggarkan jumlah kematian adalah 14,000, tetapi ia mungkin lebih besar,” kata Choi Ye-yong, Naib Ketua Suruhanjaya Awam.

“Penyelidikan lebih terperinci oleh pemerintah, yang mungkin melibatkan seluruh penduduk negara, diperlukan,” ujar kenyataan itu.

Kajian itu bagaimanapun, menunjukkan terdapat sekitar 6.3 juta, antara 5.7 juta dan 6.8 juta bergantung kepada beberapa faktor, menggunakan pelembap udara pembasmi kuman tersebut antara 1994 dan 2011.

Isi rumah dengan wanita hamil atau kanak-kanak berusia antara tujuh tahun atau lebih kecil mungkin  1.2 kali dan 1.8 kali lebih menggunakan produk tersebut.

Ia juga menunjukkan sekitar 670,000 menderita masalah kesihatan akibat pembasmi kuman itu, termasuk 520,000 yang dilaporkan mempunyai tanda-tanda baharu atau penyakit setelah menggunakan produk berkenaan. 

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 550,000 dianggarkan telah menerima rawatan perubatan, dengan rhinitis adalah penyakit yang paling biasa ditemui dalam kalangan pengguna iaitu seramai 342,111.

Berikutnya adalah penyakit paru-paru iaitu pada 203,060, diikuti penyakit kulit seramai 165,537 dan asma sebanyak 139,051, menurut kajian itu. – BERNAMA