Malaysia tambah eksport 300,000 tan minyak sawit

Gambar sekadar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan mensasarkan penambahan 300,000 tan minyak sawit memasuki pasaran Itali dan Balkan pada tahun hadapan menerusi negara Turki yang juga menjadi hub eksport.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi I, Willie Mongin berkata, ianya adalah salah satu langkah kerajaan bagi memperkenalkan pelbagai produk berasaskan sawit negara ke luar negara.

Advertisement

Malah, segala kerja pemasaran bagi sasaran penambahan itu akan dijalankan oleh kementeriannya pada bila-bila masa sahaja.

“Kementerian sedang melaksanakan pelbagai langkah promosi menerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi meningkatkan kebolehpasaran produk sawit ke negara-negara luar.

“Malah, promosi ini juga melibatkan kerjasama daripada pejabat Kedutaan Malaysia di Eropah khususnya bagi perkara yang melibatkan perhubungan antara Kerajaan (G to G).

“Serta penglibatan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam aspek pemasaran,” jelasnya di Dewan Rakyat, hari ini.

Willie Mongin (BERSATU – Puncak Borneo) berkata demikian menjawab pertanyaan Dato’ Hasbullah Osman (BN – Gerik) berkenaan jumlah jangkaan sasaran nilai eksport minyak sawit mentah yang akan diperolehi oleh Malaysia melalui permintaan dari Turki dan produk-produk yang berkualiti yang boleh dieksport ke luar negara. – HARAKAHDAILY 28/7/2020