Mohamad Sabu digesa tarik kenyataan mengelirukan

KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) menyifatkan kenyataan Mohamad Sabu (PAN-Kota Raja) yang mengatakan Nabi Muhammad sebagai pelarian dan berhijrah dari Makkah ke Madinah sangat mengelirukan.

Advertisement

Katanya, kenyataan Presiden Amanah itu boleh membawa persepsi negatif kepada Islam.

“Pada saya ia (kenyataan Mohamad) agak mengelirukan walaupun maksud beliau (Mohamad) ialah supaya memuliakan pelarian.

“Namun, menyifatkan Rasulullah SAW yang berhijrah ke Madinah kemudian dilantik menjadi pemimpin (sebagai pelarian) ialah satu kesimpulan yang mengelirukan dewan dan boleh membawa persepsi negatif kepada Islam,” katanya kepada HarakahDaily.

Memetik kenyataan Mohamad berbunyi; “jangan kita lupa sejarah. Kita jangan lupa Islam itu ditegakkan para pelarian, khasnya Nabi Muhammad yang jadi pelarian dan berhijrah dari Makkah ke Madinah,” katanya ketika membahaskan titah diraja dalam Dewan Rakyat semalam.

Mengulas lanjut, Fadhli berkata menyifatkan Nabi Muhammad sebagai pelarian adalah bersalahan dari sudut pentakrifan.

“Nabi Muhammad ini bukan seorang pelarian, berhijrah ke Madinah kerana dijemput oleh penduduk Madinah dan merupakan arahan daripada Allah seterusnya dilantik menjadi pemimpim di Madinah,” ujarnya.

Susulan itu, beliau meminta supaya Mohamad menarik balik kenyataan tersebut.- HARAKAHDAILY 27/7/2020