Muslimat diseru tingkat dakwah, disiplin diri

PERMATANG PAUH: Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Permatang Pauh Kali Ke-31 yang menjadi medan muhasabah dan penambahbaikan telah dilangsungkan di Dewan Marzuki An-Nahdhoh, Kubang Semang, di sini kelmarin.

Advertisement

Majlis yang terus merangsang mengukuhan agenda organisasi ini agak berbeza kerana tertakluk kepada peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berwajib dalan suasana Perintah  Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat COVID-19.

Walaubagaimanpun ini tidak menjejaskan kehadiran para perwakilan  dari Cawangan-cawangan untuk turut sama berbincang dan membuat keputusan tanpa mengabaikan garis panduan yang ditetapkan.

Ketua Muslimat PAS Permatang Pauh, Ustazah Nor Hapiza Saad dalam ucapannya menyeru Muslimat PAS agar membina peribadi diri dengan akhlak terpuji serta menunjukkan qudwah atau contoh ikutan kepada masyarakat.

“Berkatalah yang yang baik-baik, berhujahlah dengan ilmu dan adab, biar kata-kata  dan tingkahlaku kita menjadi dakwah, inilah muslimat PAS yang ditarbiyah,” jelasnya semua itu merupakan satu bentuk dakwah yang paling mudah dan berkesan.

Beliau turut menekankan pentingnya disiplin diri dalam kalangan Muslimat PAS ke arah meneruskan gerak kerja jamaah, kerana ia merupakan salah satu syarat untuk mencapai kemenangan dalam perjuangan.

Tambahnya lagi, sebagai ahli juga perlu patuh kepada arahan pimpinan, menepati masa, menyiapkan tugasan yang diamanahkan serta melaksanakan tugasan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh di mana ia tidak dapat dicapai tanpa disiplin diri.

Menyentuh situasi pandemik COVID19 yang menunjukkan peningkatan kes, Ustazah Norhapiza turut berpesan agar Muslimat patuh dengan segala SOP atau garis panduan yang ditetapkan kerajaan.

Majis disempurnakan oleh Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan yang amat menghargai gerak kerja Muslimat sebagai sayap kiri dalam jentera parti dan turut mengingatkan agar sentiasa bersiap dalam menghadapai pilihan raya.

“Selain itu, sebagai parti dalam kerajaan Perikatan Nasional, PAS bukan lagi pembangkang dan setiap ahli perlu berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan.

“Segala perancangan perlukan kebijaksaaan dan setiap tindakan mestilah dilaksanakan dengan cermat dan berhati-hati agar tidak terperangkap dengan mainan musuh yang sentiasa mencari kelemahan,” ujarnya.

Beliau juga menyeru agar muslimat memperkukuhkan ikatan persaudaraan dengan rakan-rakan Muafakat Nasional dalam usaha memasyarakatkan PAS.

Turut hadir sebagai pemerhati ialah Ahli Jawatankuasa PAS Permatang Pauh, Mohamad Asre Jusoh dan Ketua Penerangan Dewan Ulamak Negeri Pulau Pinang, Ustaz Zakaria Hamzah serta wakil Muslimat PAS Pulau Pinang, Nur Hazleana Muhd Baiduri. – HARAKAHDAILY 28/7/2020