PAS Johor komited perkukuh Muafakat Nasional

ISKANDAR PUTERI: PAS dan Umno Negeri Johor terus mengukuhkan hubungan kedua pihak dan merangka gerak kerja bersama yang lebih aktif menerusi Jawatankuasa Pemantau Muafakat Nasional.

Advertisement

Dipengerusikan bersama oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin dan Pengerusi Umno Johor, Dato’ Ir Hasni Mohammad, mesyuarat jawatankuasa ini telah dilangsungkan di Hotel Jen, Puteri Harbour, di sini kelmarin.

Selain berfokus kepada pembentukan jawatankuasa sebagaimana ditetapkan di peringkat Pusat, mesyuarat juga telah membincangkan pelbagai perkara bersama berkaitan pentadbiran kerajaan dan gerak kerja politik lainnya.

Antara terdekat, kedua-dua pihak bersetuju mengadakan majlis ibadah Korban Muafakat Nasional Johor di beberapa lokasi dalam negeri itu yang akan dilangsungkan pada hari raya kedua Aidil Adha nanti.

Dalam memastikan kelicinan perancangan, kedua-dua pihak juga bersetuju mewujudkan Pejabat Sekretariat Bersama yang akan mengetuai urusan pentadbiran, selain penubuhan jawatankuasa seumpama di peringkat Parlimen.

Ustaz Abdullah dalam penegasannya menyatakan komitmen PAS Johor untuk terus memperkukuhkan Muafakat Nasional di seluruh peringkat di negeri selatan tanah air itu dan membawa perubahan politik yang lebih baik.

“Insya-Allah permuafakatan, persaudaraan dan persahabatan Muafakat Nasional Johor ini terus dipandu menurut kehendak Islam agar dapat menjadi contoh dan tauladan kepada perpaduan ummah seluruhnya,” ujar beliau.

Hadir sama adalah Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS Johor iaitu Khairul Faizi Ahmad Kamil, Prof Dr Mohd Mazri Yahya dan Roslan Nikmat yang bertekad memperkukuh agama, bangsa dan negeri Johor. – HARAKAHDAILY 28/7/2020