Pemandu mabuk: Jangan tertumpu semata aspek punitif

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membangunkan suatu dasar yang lebih holistik bagi menangani isu yang berkaitan dengan minuman beralkohol dan pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut.

Menurut Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, pendekatan yang holistik ini mengambil kira bukan sahaja aspek punitif, malah juga melihat kepada aspek pencegahan yang berkesan.

Advertisement

“Tindakan tegas DBKL ketika ini dalam membekukan lesen-lesen baru perjualan arak ini perlu dijadikan contoh oleh penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain bagi memastikan isu penjualan minuman beralkohol dapat dikawal secara optimum.

“Perkara ini merupakan tunjang utama bagi memastikan langkah pencegahan minuman beralkohol dalam dilaksanakan secara efektif dan efisyen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, beliau turut menyokong pendirian Kementerian Wilayah Persekutuan bahawa aspek-aspek lain seperti had masa jualan, tempat penjualan dan sebagainya sewajarnya diambil perhatian dan diteliti oleh pihak kerajaan.

Katanya, ia bagi memastikan implikasi negatif daripada arak dapat diminimakan demi melindungi kepentingan dan keselamatan orang awam.

Dalam Dewan Rakyat hari ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan bahawa pengeluaran lesen baharu penjualan arak di pusat bandar dibuat mengikut garis panduan yang akan ditetapkan Lembaga Pelesenan Eksais Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kriteria yang akan ditetapkan dalam garis panduan itu membabitkan sensitiviti kawasan, waktu, premis atau tempat penjualan minuman keras.- HARAKAHDAILY 28/7/2020