Tidak sedar, buat-buat tak sedar?

Gambar sekadar hiasan

SAYA hairan kenapa orang Islam sendiri sanggup hina Rasulullah SAW? Tidakkah Rasulullah SAW patut dianggap sebagai semulia-mulia manusia? Tidakkah mereka sedar bahawa dengan meletakkan Rasulullah SAW dan para sahabat RA yang berhijrah ke Madinah dalam kelompok pelarian adalah sesuatu yang menghinakan? Saya tak perlu hurai perkara ini kerana secara asasnya walaupun orang Islam itu tidak belajar agama tinggi pun akan dukacita dengan kenyataan seperti ini.

Di sini, saya nak perkenalkan kepada tuan puan mengenai satu istilah baharu iaitu Islamis-Sosialisme. Secara asasnya, Islamis ialah kelompok yang memperjuangkan agenda Islam. Biasanya kelompok ini dinamakan sebagai fundamentalist. Manakala sosialisme pula ialah kelompok yang memperjuangkan agenda kebajikan dan kebebasan rakyat tanpa berbataskan agama.

Sosialisme lebih lembut pendekatannya berbanding komunisme kerana sosialisme berpegang kepada pemikiran untuk kebebasan bersuara yang boleh dihubungkan dengan liberalisme, manakala komunisme ialah kelompok yang berpegang penuh kepada teori kebergantungan (dependencies theory) iaitu rakyat bergantung penuh kepada pihak kerajaan. Kerajaan boleh lakukan apa sahaja yang difikirkan baik untuk rakyat.

Advertisement

Oleh sebab sosialisme dan liberalisme agak dekat perjuangannya, maka ada kelompok yang mencirclekan dirinya dalam kelompok liberal-sosialisme. Perjuangan kelompok liberal-sosialisme lebih kepada mendesak kerajaan untuk menjaga kebajikan dan kebebasan rakyat tanpa berbataskan agama. Walau bagaimanapun, asal usul sosialisme juga adalah daripada komunisme sehingga terbentuk pula kelompok komunis-sosialisme.

Adapun kelompok islamis-sosialisme ini hadir daripada orang Islam yang memegang pemikiran sosialisme. Islamis-sosialisme ini nampak agak baik kerana mereka memasukkan unsur agama dalam perjuangan sosialisme mereka. Istilah ini boleh dimaksudkan juga sebagai kelompok yang berusaha menonjolkan diri sebagai seorang Islam, namun di sebalik penampilan tersebut, mereka cuba memasukkan tingkah laku dan pemikiran berbasiskan sosialisme.

Sama ada kelompok islamis-sosialisme ini sedar tindakan mereka yang telah terkelompok di dalam circle ini atau pun tidak, itulah yang menjadi persoalan sekarang ini. Untuk kenal mereka, saya senaraikan sebahagian sifat mereka seperti berikut:

1. Mereka anggap kelompok yang memperjuangkan Islam adalah ektremis agama kerana mengurangkan kebebasan bersosial. Istilah menunggang agama kerap digunakan bagi menolak ‘ekstremis agama’.

2. Agama hanya patut berada di masjid sahaja.

3. Mereka suka mendesak kerajaan secara emosi dan gopoh bukannya secara rasional.

4. Kebajikan sosial daripada non-Muslim dianggap kejayaan perjuangan dakwah mereka.

5. Mereka lebih berminat turun ke jalanan untuk berdemonstrasi mendesak kerajaan untuk melaksanakan kehendak mereka berbanding kepada pendekatan berbincang.

6. Non-Muslim diangkat dengan bangga sekali, sebaliknya dengan rela menjatuhkan maruah orang Islam.

7. Strategi mereka tidak berbataskan syariah Islam. Mereka bebas melakukan apa sahaja asalkan berjaya menjatuhkan musuh.

8. Kritikan mereka lebih kepada keburukan peribadi berbanding daripada menonjolkan kekuatan masing-masing.

9. Mereka selaraskan ayat al-Quran dan Hadith mengikut kesesuaian pemikiran mereka. Maksudnya agama ikut pemikiran, bukannya pemikiran ikut agama.

10. Isu agama digunakan sekadar untuk meraih sokongan politik mereka sahaja. Sedikit sensitiviti untuk agama.

Siapa pernah ada sifat-sifat ini maka buanglah jauh-jauh kerana anda telah terpengaruh dengan pemikiran islamis-sosialisme. Dalam Islam tidak ada istilah pemikiran melainkan Islam itu adalah akidah dan kepercayaan. Begitu juga, jika tak kenal sifat-sifat ini maka akan mudah terpengaruh dengan argument politik Islamis-sosialisme.

Sedarilah tuan-puan bahawa hakikat berpolitik ini mudah terdedah kepada tipu daya. Hati-hati dalam menerima pandangan kelompok ini yang banyak menggunakan logik akal dan disesuaikannya dengan sumber-sumber agama. Sebab itu kita boleh lihat mereka dalam keadaan menghina Rasulullah SAW pun masih selesa menempelkan sumber Sirah agar sekurang-kurangnya masyarakat yang tidak mahir dengan sumber agama mudah diperdaya oleh mereka. Apakah kemungkinan mereka tidak sedar sedang menghina Rasulullah SAW kerana kemungkinan mereka sendiri tidak sedar telah lama memegang pemikiran Islamis-Sosialisme?

Sekali lagi saya tekankan di sini, Islamis-Sosialisme ialah golongan yang memperjuangkan agenda kebajikan rakyat secara ekstrem dengan menempelkan sumber agama sekadar untuk mendapatkan sokongan politik peribadi dan dalam masa yang sama menyisip pemikiran sosialis dalam jiwa peribadi rakyat.

Jauhilah golongan ini.

DR. MOHD SYAKIR MOHD ROSDI
Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam,
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (USM), Universiti Sains Malaysia.- HARAKAHDAILY 28/7/2020