Bukti sistem keadilan bebas tanpa manipulasi

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong penuh kenyataan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berhubung pendirian PAS terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 ke atas Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Keputusan yang dibacakan oleh Yang Arif Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ini membuktikan sistem keadilan di Malaysia bebas tanpa kongkong atau manipulasi pihak Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ia juga membuktikan Kerajaan Perikatan Nasional yang telah dibentuk pada 23 Februari 2020 adalah kerajaan yang telus dan menghormati prinsip pengasingan kuasa dan mendukung prinsip kedaulatan undang-undang.

Advertisement

Walaupun proses di Mahkamah Tinggi telah berakhir, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak masih mempunyai dua lagi peluang untuk merayu sabitan dan hukuman ini iaitu melalui Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Hak ini adalah dijamin di sisi Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang sedia ada di Negara ini. Maka sewajarnya, para penyokong Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dapat terus bersabar dan bertenang.

Pemuda PAS akan terus memperkasakan hubungan Pemuda Muafakat Nasional bersama-sama Pergerakan Pemuda Umno Malaysia (PPUM) dan akan menzahirkannya melalui bantuan dan kerjasama Pemuda PAS dalam menghadapi PRK DUN N.58 Slim yang dijadualkan bermula 15 Ogos 2020 (Penamaan Calon) sehinggalah 29 Ogos 2020 (Mengundi).

IR. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS Malaysia
29 Julai 2020 – HARAKAHDAILY 29/7/2020