KASA sentiasa sedia beri khidmat terbaik

Sumber foto: FB Kementerian Alam Sekitar dan Air

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadikan kita seolah-olah menempuh suatu anjakan paradigma dengan pelbagai transformasi dan norma baharu dalam kehidupan seharian kita.

Bermula dengan sekatan pergerakan dan perhimpunan di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya, kemudian penguatkuasaan total ‘lock-down’ di seluruh negara termasuklah sektor industri, komersil dan perkilangan.

Rakyat menjalani perintah berkurung di rumah masing-masing bahkan bekerja hanya dari rumah melalui atas talian dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, kita bersyukur dan gembira dengan tindakan awal dan bijak pemimpin kita dalam mengekang dan memerangi wabak Covid-19 ini dengan cemerlang tanpa menghiraukan sebarang persepsi negatif oleh segelintir pihak.

Advertisement

Malah tahap kesedaran rakyat Malaysia juga harus dibanggakan kerana mampu menerima arahan dari pihak kerajaan dengan baik sekali gus ianya menjadikan Malaysia antara lima negara terbaik di dunia yang mencegah penularan wabak tersebut.

Syarikat air terjejas

Sepanjang tempoh PKP dilaksanakan bermula 18 Mac yang lalu sehingga kini memberikan impak terhadap pertumbuhan kewangan syarikat air di Malaysia.

Hal ini ekoran pengurangan permintaan bekalan air oleh pelbagai sektor seperti sektor industri, komersial dan perkilangan yang dianggarkan berjumlah lebih daripada 50 peratus.

Dalam masa yang sama, syarikat air juga menanggung kos operasi (Operating Expenses (OPEX)) yang tinggi khususnya kos pembelian bahan kimia, klorin dan bil elektrik.

Menurut terjemahan daripada Investopedia, Operating Expenses atau singkatannya OPEX bermaksud kos yang terlibat dalam menjalankan operasi harian syarikat, kebiasaannya menanggung sebahagian besar perbelanjaan syarikat seperti sewa, utiliti, gaji upah, cukai hartanah, perjalanan perniagaan dan sebagainya.

Sumber foto: FB Kementerian Alam Sekitar dan Air

Dalam usaha untuk membasmi virus Covid-19 di dalam bekalan air negara, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengarahkan syarikat dan operator air untuk meningkatkan pengedosan klorin dalam air terawat dari 0.2 bahagian dalam sejuta (parts per million – ppm) kepada 0.5 ppm seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Selain itu, kos OPEX utama yang lain termasuklah pembayaran bil elektrik yang mewakili hampir 50 peratus daripada kos pengeluaran satu meter padu air bersih.

Walau bagaimanapun, kerajaan akan terus komited dan konsisten dalam membekalkan air yang bersih dan terjamin kualiti kebersihannya. Malah, ianya menepati dengan standard piawaian kesihatan yang ditetapkan oleh WHO.

Rakyat tidak terjejas – Menteri Alam Sekitar

Ekoran penurunan permintaan bekalan air daripada sektor industri, komersial dan perkilangan dek pelaksanaan PKP, namun tidak bagi permintaan rakyat.

Semenjak PKP dilaksanakan, penggunaan air meningkat berganda di premis atau kediaman rakyat Malaysia sebanyak 25 peratus.

Hal ini disebabkan oleh lebih banyak masa yang diluangkan di rumah semasa PKP, berbanding separuh hari berada di pejabat pada hari biasa.

Sumber foto: FB Kementerian Alam Sekitar dan Air

Bagi memahami dengan lebih tepat mengenai tarif air yang dikenakan, orang ramai boleh melayari laman web Air Selangor.

Walau bagaimanapun, menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan bahawa kerajaan menjamin tidak akan menaikkan tarif air dalam situasi rakyat yang terkesan dengan pandemik tersebut.

Malah, kerajaan akan menanggung semua kos di samping menawarkan pelbagai bantuan kepada rakyat dalam keadaan yang kritikal ini.

Malah, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) juga akan memastikan perkhidmatan perlu (essential services) ini dibantu bagi kelangsungan bekalan air kepada penduduk terus terjamin.

Dalam usaha untuk meringankan beban kewangan syarikat air, KASA akan melaksanakan beberapa insentif yang menguntungkan semua pihak.

Yang pertama, SPAN akan memberi pengecualian kadar fi tahunan lesen individu kepada pemegang lesen sebanyak 30 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan.

Dengan langkah ini akan memberikan penjimatan berjumlah RM24 juta kepada pemegang lesen dan kehilangan pendapatan kepada SPAN.

Yang kedua, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan memberi penangguhan bayaran sewa pajakan aset air sedia ada untuk tempoh tiga bulan bermula April 2020 melibatkan penangguhan pembayaran berjumlah RM100 juta.

Walau bagaimanapun, penangguhan ini hanya terpakai kepada sewa pajakan ke atas pinjaman bekalan air kerajaan negeri yang diambil alih oleh PAAB melalui inisiatif penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara.

Justeru itu, KASA melalui SPAN akan senantiasa memantau bekalan air secara berterusan khususnya sepanjang tempoh PKP selama 167 hari sehingga penghujung Ogos ini serta mengambil pelbagai langkah yang diperlukan bagi memastikan kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia terus terpelihara dan terjaga.

EVA NATASHA SADALI- HARAKAHDAILY 29/7/2020