Kunjungan Razman ke SKAP janjikan pembaharuan

BAGAN SERAI: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri, Razman Zakaria telah memenuhi jemputan ke program ramah mesra bersama warga Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu (SKAP), di sini kelmarin.

Advertisement

Dalam pertemuan itu, Razman diringi Guru Besar, Mohd Salji Yunus dibawa meninjau kawasan persekolahan selain berpeluang mendengar taklimat dan penerangan berkenaan perkembangan keadaan dan operasi persekolahan.

Razman di dalam ucapannya memaklumkan sedang mempertimbangkan usaha untuk menambah baik prasarana SKAP  melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) seperti yang dipohon pihak sekolah melalui pihak beliau suatu ketika dahulu.

“Saya difahamkan suatu ketika dahulu sekolah ini hanya mempunyai satu bangunan kayu dan beberapa orang murid sahaja. Namu kini ia telah mencapai 625 murid serta hampir 50 tenaga pengajar,” ulas Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol.

Selain itu jelas beliau pihaknya akan berusaha merealisasikan permohonan tersebut disamping mengusahakan bantuan-bantuan lain bagi memastikan proses pembelajaran di SKAP ini berjalan dengan baik.

Bukan itu sahaja, di dalam sesi ramah mesra itu, Razman turut menyampaikan motivasi kepada seluruh warga SKAP bahawa latar belakang sesebuah keluarga bukan merupakan penentu kejayaan yang boleh dicapai oleh para pelajar.

“Seperti yang kita sedia maklum sebelum ini, seorang pelajar yang memiliki latar belakang keluarga yang sederhana telah mencapai keputusan terbaik STPM bagi tahun 2019. Ini membuktikan usaha gigih para pelajar itulah faktor utama kejayaan diperoleh,” jelas Razman.

Di dalam lawatan itu, beliau yang merupakan EXCO Pendidikan Negeri turut berkesempatan melakukan gimik penyerahan buku panduan pencegahan COVID-19 dan perasmian Sudut Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) seterusya mengadakan sesi bergambar bersama pihak sekolah.

Turut hadir di dalam program itu, Pengarah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Fisal Shafie dan Naib Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Zainal Abidin Ahmad. – HARAKAHDAILY 29/7/2020