Mohon Puad Zarkashi jangan berdendam

KENYATAAN bekas Ahli Parlimen yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi seperti yang dilaporkan oleh media Free Malaysia Today (FMT) semalam, di mana beliau sebut mengenai dendam kesumat yang kemudiannya disambung dengan tuduhan kononnya Perdana Menteri (PM) YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘tersenyum puas’ apabila Datuk Seri Najib dihukum oleh mahkamah, adalah suatu kenyataan semberono dan tidak cermat.

Menyebarkan prasangka beginilah yang boleh meruntuhkan bukan saja penyatuan bangsa kita dari pelbagai wadah politik dalam Perikatan Nasional (termasuk di Sabah dan Sarawak) malah jika ditafsir secara serius ia boleh dianggap sebagai suatu bentuk hasutan yang berlandaskan ketaksuban terhadap individu dan kelompok tertentu sahaja.

Datuk Dr. Puad Zarkashi nampaknya cukup tidak senang dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini sejak ia mula ditubuhkan setelah Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8. Kenyataan-kenyataan yang keluar dari beliau berkenaan perihal kerajaan hari ini di media lebih bersifat ‘friendly fire’ dari memperkukuhkan permuafakatan yang didambakan oleh majoriti rakyat Malaysia khususnya kaum pribumi di luar sana.

Advertisement

Apakah Datuk Dr. Puad tidak menghormati kedudukan dan keputusan Presiden parti sendiri yang turut menyokong penubuhan Kerajaan Malaysia pada hari ini? Walhal ramai yang tahu bahawa perbicaraan kes SRC-1MDB Datuk Seri Najib itu telah berlangsung sebelum Tan Sri Muhyiddin angkat sumpah sebagai Perdana Menteri lagi. Malah mantan Perdana Menteri tersebut secara terbuka mahu dirinya terus menghadapi perbicaraan mahkamah untuk membuktikan dirinya tidak bersalah. Lalu di mana yang dikatakan dendam kesumat itu?

Adakah Datuk Dr. Puad mahu YAB Tan Sri Muhyiddin campurtangan kes mahkamah itu hanya kerana sokongan Ahli Parlimen Pekan tersebut terhadap Perdana Menteri? Itu yang diungkitkan dalam kenyataan Datuk Dr. Puad melalui media semalam. Sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia yang belajar sejarah dan faham sistem pentadbiran negara ini yang memisahkan mahkamah dari politik perlu akur serta menghormati kebebasan mahkamah untuk membuat keputusan.

Secara peribadi saya sentiasa mempertahankan kemuliaan mahkamah dari sebarang campurtangan orang politik atau tuduhan yang tidak berasas ke atasnya. Ketika mantan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Lokman Adam menuduh hakim yang mengendalikan kes SRC tersebut dipengaruhi oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir dalam tahun lepas, saya telah ke Istana Kehakiman menyerahkan memorandum membidas fitnah tersebut. Begitu juga apabila Tun Dr. Mahathir pula meluahkan syak wasangka terhadap sistem keadilan negara ini setelah Kerajaan Perikatan Nasional mentadbir, saya juga menafikan kekhuatiran beliau tersebut secara terbuka di media.

Dan untuk rekod ini bukan kali pertama Datuk Dr Puad Zarkashi mengeluarkan perkataan dendam di media. Perkataan yang sama darinya pernah diterbitkan oleh laporan Astro Awani pada 5 Disember 2016 dan Berita Harian pada 1 Januari 2020. Nampaknya perkataan dendam cukup sinonim dengan Datuk Dr. Puad Zarkashi. Jangan jadikan Perdana Menteri yang disokong parti sendiri sebagai tempat untuk melampiaskan dendam kesumat tersebut. Kenyataan sebegitu tidak memberi nilai tambah kepada imej Datuk Seri Najib yang masih mempunyai ruang untuk membuat rayuan bagi mempertahankan dirinya.

Saya mohon semua pemimpin-pemimpin yang berada dalam Muafakat Nasional dan yang menyokong Kerajaan Perikatan Nasional untuk lebihkan bersabar, rasional, dan matang dalam berbicara. Ingatlah bahawa parti politik ini hanyalah wadah untuk kita memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara. Dan ianya bermula dari suatu penyatuan untuk sama-sama bergerak ke hadapan.

DR MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi BERSATU Malaysia
29 Julai 2020 – HARAKAHDAILY 29/7/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.