PATI: Penguat kuasa ‘curang’ berdepan hukuman

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang bersekongkol dengan tekong untuk membawa masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara ini.

Timbalan Menterinya, Dato’ Seri Ismail Mohamed Said berkata tindakan dan hukuman yang berat akan dikenakan kepada pihak yang bersekongkol dalam sindiket jenayah penyeludupan PATI

Advertisement

“Saya ingin tegaskan, pihak kementerian bertegas untuk mengekang kemasukan mana-mana PATI termasuk mengenakan tindakan lebih berat kepada tekong yang sentiasa memberi maklumat dalam usaha untuk membawa masuk PATI.” katanya di dalam Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan oleh Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) berhubung perancangan pihak KDN untuk memperhalusi peruntukan perundangan yang lebih berat kepada pihak termasuk anggota penguat kuasa yang bersekongkol dalam aktiviti jenayah penyeludupan PATI.

Menurut Ismail (BN-Kuala Krau), pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menahan agensi penguat kuasa yang didakwa terlibat dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan PATI.

Sebelum ini, Polis Johor menahan 18 anggota penguat kuasa termasuk seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit dalam sindiket jenayah penyeludupan PATI.- HARAKAHDAILY 29/7/2020