Tangani isu banjir secara holistik di Baling

BALING:Kerajaan negeri akan memberi tumpuan menyelesaikan masalah banjir secara lebih menyeluruh di daerah Baling.

Advertisement

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukan Projek Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM15 juta yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) akan memberi tumpuan perkara itu. 

Katanya masalah berkenaan akan diselesaikan secara menyeluruh dan tidak lagi buat secara bertompok-tompok. 

“Peruntukan sebanyak RM400,000 disediakan untuk projek pemuliharaan sungai  Kampung Tanjung Merbau, Sungai Ketil di Mukim. 

“Sebanyak RM900,000 pula untuk pembinaan RTB Baling Hulu melalui permohonan dalam RMK-12 yang telah diangkat,” katanya selepas mesyuarat Exco di Pejabat Daerah Baling hari ini.  

Sanusi juga berkata, kerajaan negeri mengambil keputusan mengarahkan pengusaha ladang Musang King di kawasan seluas 600 hektar di Gunung Inas memberhentikan operasi.

Katanya, aktiviti ladang itu turut mengundang implikasi banjir di kampung berdekatan. 

“Pemilik tanah berkenaan perlu kembali kepada kelulusan asal iaitu pembangunan ladang hutan untuk projek penanaman Timber Latex Clone (PLC).

“Sebagai tindakan permulaan mereka diarah menanam tanaman tutup bumi sebagai langkah mengurang berlaku hakisan tanah yang membawa kesan kepada sungai berdekatan,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 29/7/2020