Tegas tanpa kompromi soal keselamatan negara

KUALA LUMPUR:PAS menyokong penuh tindakan tegas kerajaan tangani penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), kata Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Advertisement

Menurutnya, penglibatan pelbagai agensi penguat kuasa ternyata memberikan hasil memberangsangkan dalam membendung kedatangan PATI ke dalam negara melalui pelbagai operasi yang dijalankan.

“Saya menyatakan sokongan penuh di atas ketegasan pihak Kerajaan dalam menangani aktiviti jenayah penyeludupan dan pemerdagangan PATI ke negara ini.

“Operasi bersepadu Op Benteng di bawah National Task Force (NTF) melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa utama negara seperti PDRM, ATM dan APMM yang mula diaktifkan sejak Mei lalu ternyata memberikan hasil yang efektif dan efisyen,” ujarnya.

Beliau menambah, penguatkuasaan jenayah rentas sempadan ini memerlukan pamantauan rapi serta langkah strategik bagi menumpaskan kelicikan kelompok sindiket yang mempunyai tekong dalam kalangan rakyat tempatan.

“Pihak NTF beberapa kali berjaya memintas bot-bot yang membawa PATI masuk ke dalam negara khususnya melalui jalan perairan.

“Hal ini menggambarkan sikap proaktif yang telah dimainkan oleh pihak NTF dalam menangani isu ini,” jelasnya di dalam satu kenyataan media hari ini.

Disamping itu, beliau menggesa agar Kerajaan dapat mempertimbangkan peruntukan undang-undang lebih berat kepada sesiapa sahaja yang bersekongkol terutamanya pesalah dalam kalangan penguat kuasa sendiri

Malah, kenyataan Ketua Polis Johor, Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini telah membuktikan terdapatnya kewujudan tindakan khianat yang telah lama berleluasa dalam kalangan pasukan penguat kuasa sendiri.

Oleh demikian, beliau berkata selain tindakan tegas, peruntukan undang-undang yang lebih berat adalah dituntut dalam memastikan usaha memelihara kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terjamin.- HARAKAHDAILY 29/7/2020