Tingkat kesungguhan bendung demam denggi

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan terdapat 54,391 kes jangkitan denggi di Malaysia. Jumlah ini bagi tempoh bermula dari Januari sehingga Jun tahun ini sahaja. Biarpun terdapat penurunan hampir 13 peratus kes berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019, usaha berlipat kali ganda perlu diteruskan bagi membendung penularan jangkitan virus denggi. 

Demam denggi berlaku akibat jangkitan virus denggi (dengue virus) yang dibawa oleh nyamuk, terutamanya jenis Aedes aegypti. Terdapat juga sejumlah kecil jangkitan yang disebarkan oleh nyamuk jenis Aedes albopictus. Kedua-dua jenis nyamuk ini juga boleh menjadi pembawa kepada virus chikungunya, yellow fever dan Zika. 

Empat jenis virus denggi (DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4) telah dikenalpasti menjadi penyebab penyakit demam denggi dan demam denggi berdarah (dengue hemorrhagic fever). Jangkitan lampau virus ini, tidak menawarkan perlindungan terhadap jangkitan kali berikutnya jika ia disebabkan oleh jenis virus denggi yang berbeza. Sebagai contoh, seseorang yang dijangkiti virus denggi jenis DEN 1, tetap berisiko untuk dijangkiti oleh virus denggi jenis lain pada masa akan datang. Malahan, jangkitan kali berikutnya ini berkemungkinan besar akan menyebabkan demam denggi berdarah. 

Advertisement

Keupayaan virus denggi menyerang dan memperdaya sel-sel sistem pertahanan badan (sel-sel imun), membolehkan ia membiak dan tersebar dengan pantas di dalam badan manusia. Keadaan ini mengakibatkan peningkatan tinggi jumlah virus di dalam salur darah (viremia). 

Sehingga kini masih tiada rawatan khusus bagi demam denggi. Pesakit biasanya diberi rawatan bagi meredakan suhu badan yang tinggi selain ubat tahan sakit bagi mengurangkan kesakitan otot dan sendi. Walau bagaimanapun, ubat anti-radang seperti ibuprofen dan aspirin (non-steroid anti-inflammatory drugs) yang boleh mencairkan darah, perlu dielakkan agar tidak memburukkan lagi kesan jangkitan. 

Berbeza dengan demam denggi, pesakit yang mengalami simptom demam denggi berdarah memerlukan pengawasan rapi dari pakar yang berpengalaman. Penyakit ini boleh menyebabkan kematian akibat gangguan pernafasan, pendarahan teruk, kerosakkan organ dan kebocoran plasma (plasma leaking). Demam denggi berdarah adalah manifestasi kepada kemampuan virus memperdaya antibodi yang terhasil dari jangkitan lampau, bagi tujuan meningkatkan keupayaanya menjangkiti sel-sel imun dengan lebih berkesan (antibody-dependent enhancement of infection). 

Vaksin denggi yang pertama telah dihasilkan pada tahun 2015. Vaksin ini mengandungi virus denggi hidup yang telah dilemahkan (live attenuated virus). Ia berjaya menawarkan pelindungan kepada pesakit yang telah mengalami jangkitan lampau virus denggi (seropositive individuals) dari jangkitan kali berikutnya. Namun, keadaan sebaliknya berlaku kepada mereka yang belum pernah terdedah kepada jangkitan. Penerima vaksin yang belum pernah dijangkiti (seronegative individuals), berisiko tinggi mengalami kesan jangkitan yang lebih parah apabila terdedah kepada jangkitan virus denggi. Oleh kerana itu, kebanyakkan negara membuat pertimbangan mendalam sebelum menawarkan vaksin ini. 

Kerjasama padu daripada semua pihak termasuk ahli masyarakat, jabatan, agensi kerajaan mahupun swasta sangat-sangat diperlukan bagi menangani masalah denggi di negara kita. Kesedaran berkaitan dengan bahayanya virus-virus bawaan nyamuk boleh meningkatkan usaha membendung masalah ini. 

Setiap kita punya peranan penting dalam mencegah wabak denggi. Keprihatinan dalam memastikan kebersihan persekitaran terjaga dan terpelihara, dapat mengurangkan dan memusnahkan kawasan berisiko bagi pembiakkan nyamuk. Selain itu, mengambil langkah-langkah perlindungan diri dari terdedah kepada gigitan nyamuk juga turut membantu. Kesungguhan kita melindungi diri dari jangkitan virus denggi Insya-Allah, turut membantu memelihara kesihatan orang lain di sekeliling kita. 

DR. HANI’AH ABDULLAH
Anti-infective virologist
Alderley Park. – HARAKAHDAILY 29/7/2020

Rujukan utama;
WHO – Dengue and severe dengue 
Halstead, S. B. 2002. Revista Cubana de Medicina Tropical
Nature education – Host response to the dengue virus 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.