Aidiladha: MB peringat tidak abai norma baharu

KOTA BHARU : Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob sekali lagi menekankan supaya rakyat Kelantan mengamalkan norma baharu bagi menyekat penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan sudah menetapkan peraturan yang perlu dipatuhi oleh setiap lapisan masyarakat ketika sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut oleh seluruh umat Islam bermula esok.

Advertisement

“Semoga anugerah hari raya yang turut digunakan dalam merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dengan mengamalkan norma baharu dalam berhari raya dengan mematuhi setiap garis panduan yang ditetapkan.

“Jagalah diri kita, keluarga kita, masyarakat kita dari penyakit ini,” kata beliau dalam kenyataan mengenai perutusan Aidiladha Menteri Besar Kelantan yang bertajuk ibadah korban memupuk semangat ta’awun dalam ummah.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, konsep ibadah korban memupuk semangat ta’awun dalam ummah perlu difahami dengan menelusuri kisah serta perjuangan Nabi Ibrahim A.S dan anaknya Nabi Ismail A.S.

Setiap tahun katanya, umat Islam diberi peringatan mengenai sejarah tersebut sebagai petunjuk kepada umat Islam untuk berkorban jiwa dan harta bagi meningkatkan martabat agama Islam serta sifat keimanan.

“Ia memberi makna yang sangat besar khususnya kepada umat Islam yang menunaikan haji di Makkah, tetapi musim haji kali ini tidak seperti tahun-tahun sebelum kerana wabak Covid-19 melanda seluruh dunia.

“Ibadah korban sangat digalakkan dalam agama kerana ia mampu melahirkan rasa syukur, hilang kedekut dan tamak serta melatih umat Islam untuk terus berkorban demi menegakkan syiar Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2020