Ambil perhatian isu nelayan Dungun

Gambar sekadar hiasan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli menggesa kerajaan supaya mengambil perhatian terhadap permasalahan yang dihadapi para nelayan khususnya di Dungun.

Menurutnya, setiap hari nelayan Dungun terpaksa menghadapi pencerobohan nelayan asing, pencerobohan zon oleh nelayan tempatan, masalah hakisan dan mendapan di jeti tambatan.

Advertisement

“Kondisi infrastruktur dan kemudahan nelayan yang menyedihkan, sehinggalah kepada isu sejumlah besar nelayan yang masih tidak memiliki lesen,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, isu-isu ini sangat menyukarkan kehidupan nelayan Dungun kerana menjejaskan sumber pendapatan nelayan yang tidak seberapa.

“Oleh itu, keprihatinan kerajaan sangat diperlukan pada masa ini agar nasib nelayan Dungun tidak terabai dalam pada kerajaan sibuk menumpukan kepada fasa pemulihan pasca Covid-19,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Wan Hassan berkata, pihaknya turut menekankan beberapa perkara yang boleh dilakukan dalam masa terdekat bagi memastikan nelayan Dungun dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Antaranya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) perlu meningkatkan penguatkuasaan terutamanya di Kawasan Pulau Tenggol, Dungun.

“Menyegerakan usaha penambahbaikan infrastruktur sektor perikanan di Dungun khususnya yang melibatkan kemudahan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun, kilang air batu, dewan lelong dan jeti tambahan bot nelayan.

“Memberikan lesen secara automatik kepada penerima sampan bantuan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam. – HARAKAHDAILY 30/7/2020