Kebakaran Tahfiz: PAS Perak serah bantuan awal

PARIT: Kebakaran yang dipercayai berpunca dari stor penyimpanan barang-barang telah memusnahkan sebahagian serta mengakibatkan kerosakan bangunan asrama Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama, Lambor Kanan, di sini.

Advertisement

Namun, semua 115 pelajar dan lima guru mereka terselamat dan tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang berjaya dipadam sepenuhnya pihak Bomba dan Penyelamat Daerah Seri Iskandar jam 3:25 pagi tadi itu.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar tragedi tersebut, bagaimanapun pihak polis dalam penyataan awal memaklumkan tiada unsur jenayah yang menyebabkan kebakaran itu.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria hadir diiringi Yang DiPertua PAS Kawasan Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib meninjau keadaan dan menyerahkan bantuan awal kepada pihak pengurusan Maahad Tahfiz terbabit.

Pun begitu, para dermawan dirayu untuk turut sama menyumbang bagi membantu pihak pengurusan menghadapi ujian tersebut menerusi sumbangan ke akaun Agro Bank 2005442000025431 atas nama Maahad Tahfiz Al Quran Masjid Lama. – HARAKAHDAILY 30/7/2020