Kedah perkenal Bantuan Beras Sejahtera

BALING: Program Bantuan Beras Sejahtera akan dimulakan pada Ogos ini setelah ia diluluskan kerajaan Perikatan Nasional Kedah baru-baru ini.

Advertisement

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, program Beras Sejahtera akan diagihkan ke 36 DUN di Kedah.

Katanya jumlahnya akan ditentukan di bawah porfolio Exco terbabit Dato’ Ustazah Ashah Ghazali Ghazali.

“Mesyuarat Exco juga meluluskan bantuan khas sebanyak RM300 kepada pesakit terlantar (kronik), yang akan disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Untuk itu sebanyak RM900,000 diperuntukan untuk empat bulan berbaki 2020, manakala ia akan diteruskan dengan peruntukan RM2.7 juta tahun hadapan.

“Pesakit kronik terbabit memerlukan penjagaan khusus selain perbelanjaan yang agak tinggi untuk mengurus keperluan dan perubatannya,” katanya selepas mesyuarat Exco di sini semalam.

Menurutnya juga pesakit terbabit akan dikenal pasti Adun dan dihantar kepada jawatankuasa yang dianggotai Exco, Pegawai Kewangan Negeri, Lembaga zakat dan JKM.

Difahamkan sehingga sekarang terdapat seramai 3,719 pesakit kronik di seluruh Kedah.

Menteri Besar juga berkata, sebanyak RM200,000 diluluskan untuk pembangunan Gua Sireh, Gunung Pulai bagi dijadikan produk pelancongan sebagai menghargai warisan alam di lokasi terbabit.

“Projek Kuari Batu Kapur akan diteruskan tetapi diubah ke lokasi lain dan beberapa pilihan tempat telah dikenal pasti.

“Perkara tersebut telah dibincang dengan Yayasan Islam dan yang pastinya projek berkenaan tidak melibatkan pencemaran alam sekitar dan warisan sejarah,” kata beliau.

Projek Kuari Batu Kapur yang dirancang sebelum ini di Gunung Pulai menimbulkan bantahan orang ramai termasuk pencinta alam memandangkan projek terbabit akan menjejaskan eko-sistem dan pencemaran sehingga menjejaskan beberapa kampung berdekatan.

Selain itu Kerajaan Negeri akan membina telaga tiub bagi membekalkan air bersih kepada 300 penduduk di Ulu Legong,- HARAKAHDAILY 30/7/2020