PAS ikuti situasi terkini di Sabah

TUMPAT: PAS mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung ‘perubahan’ kerajaan yang dikatakan akan berlaku di Sabah hari ini.

Advertisement

Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, apa sahaja yang berlaku di negeri itu, PAS akan menerima sebarang keputusan bagi kebaikan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke IPTA.

Turut mendapat sumbangan pelajar cemerlang Maahad Muhammadi Pasir Pekan dan SMU (A) Bustanus Saadah Morak dekat sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, apa yang berlaku hari ini adalah gambaran politik di negeri itu (Sabah).

“Walau apa pun itulah keadaan yang berlaku apabila majoriti sesebuah kerajaan tidak besar.

“Mana mana parti sekalipun yang mentadbir sebuah negeri mudah berhadapan dengan situasi seperti itu,” ujarnya.

Tambahnya kemenangan sesebuah negeri pada pilihan raya perlu mendapatkan majoriti yang besar seperti di Kelantan bagi membentuk kerajaan yang lebih kukuh.

Ketua Menteri Sabah Dato Seri Shafie Apdal dilapor menghadap Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin sekali lagi pagi tadi dan ia merupakan kali kedua dalam tempoh 24 jam ekoran pergolakan politik yang berlaku.- HARAKAHDAILY 30/7/2020