Pemimpin PH juga harus berani bersihkan diri

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman 72 tahun penjara dan denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak tidak harus ‘disambut gembira’ oleh mana-mana pihak.

Advertisement

Hatta pembangkang atau pihak politik lawan sekalipun harus mengakui bahawa menghakimi dan menghukum adalah hak mahkamah, sekali gus soal benar salah atau menang kalah bukan ketentuan emosi individu, jauh sekali balas dendam dan sebagainya.

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, keputusan tersebut membuktikan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional telus, tidak mengganggu atau campur tangan ke atas badan kehakiman untuk menjalankan fungsinya secara profesional, berintegriti dan berwibawa.

Malah nasihatnya, pihak-pihak yang merasa gembira dengan keputusan tersebut harus menyedari bahawa proses keadilan berkaitan masih mempunyai tahap selanjutnya untuk dilalui lagi antaranya Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Namun, perkara tersebut menurutnya, sangat berbeza berbanding Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diuar-uarkan kepada rakyat konon-kononnya lebih demokratik, terbuka dan telus menjunjung kedaulatan undang-undang tetapi mengganggu perjalanan mahkamah.

“Terutama apabila melibatkan pimpinan utama mereka. Contoh yang paling klasik ialah kes Lim Guan Eng di mana kes ditarik balik semasa perbicaraan sedang berjalan selepas beliau dipanggil membela diri apabila mahkamah mendapati adanya kes prima facie.

“Saya pada sesi-sesi sebelum ini beberapa kali mencabar di Parlimen. Kalau Guan Eng rasa tak bersalah, berilah peluang padanya untuk membersihkan dirinya di mahkamah setelah perjalanan proses mahkamah yang sudah pergi jauh pada masa itu,” ujarnya.

Dato’ Che Abdullah yang juga Setiausaha PAS Negeri Kelantan turut mengemukakan beberapa kes lain di mana ia memberi kejutan meragukan rakyat Malaysia antaranya melibatkan kaitan pemimpin PH dengan hal mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

Beliau merujuk hubungan pemimpin politik PH dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang disabitkan pertuduhan mahkamah, tetapi kemudian dibebaskan serta beberapa dakwaan melibatkan penyelewengan dan salah guna kuasa.

Bahkan katanya, perkara tersebut juga menerima rungutan Ketua Polis Negeri Johor, Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay mengenai campur tangan politik yang wujud ketika beliau bertugas di Bahagian Antipengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana pihak yang masih terpalit keraguan seumpama untuk menjadi lebih berani supaya kes mereka diadili di mahkamah sebagai usaha membersihkan diri jika yakin tidak bersalah. – HARAKAHDAILY 29/7/2020