Premis polis akan dinaik taraf

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menaik taraf Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai-balai polis di seluruh negara menerusi ‘Pelan Strategik 5 Tahun’ secara berperingkat.

Advertisement

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), PDRM telah menggariskan semua projek harus diberi keutamaan untuk membina IPD dan balai baharu di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang dilihat semakin daif.

“Ketika ini, terdapat banyak balai dan pondok polis yang dibuat di rumah-rumah kedai yang disewakan.

“Perkara ini perlu dihentikan kerana pembiayaan sewa jangka panjang boleh digunakan untuk membina bangunan tetap mengikut kesesuaian dengan sosioekonomi dan kepadatan penduduk,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan IPD Sentul baharu di sini yang menelan kos sebanyak RM64 juta.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Polis Daerah Sentul ACP S. Shanmugamoorthy Chinniah. – BERNAMA