RM2.25 juta bantu usahawan pasca Covid-19

TUMPAT: Kerajaan Kelantan memperuntukkan sejumlah RM2.25 juta sebagai peruntukan tambahan untuk program Skim Bina Usahawan pasca Covid-19.

Advertisement

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, peruntukan itu disalurkan melalui Exco Pembangunan Usahawan bagi membantu usahawan kecil dan sederhana di setiap Dun.

“Setiap peniaga atau pengusaha yang terjejas akibat Covid-19 baru-baru ini akan diberi sumbangan berkenaan melalui Dun masing-masing.

“Sebagai contohnya kedai runcit di kampung-kampung, kedai makan atau pengusaha makanan juga layak memohon,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar yang bakal melanjutkan pengajian mereka ke IPTA hari ini.

Turut mendapat sumbangan pelajar cemerlang Maahad Muhammadi Pasir Pekan dan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Bustanus Saadah Morak.

Ustaz Ahmad berkata mereka perlu mengisi borang berwarna ungu terlebih dahulu dan sekiranya permohonan dilulus sumbangan akan diberikan dalam bentuk cek.

Tambahnya, kerajaan negeri berharap sumbangan berkenaan dapat membantu mereka menyambung semula perniagaan yang terjejas akibat Covid-19.- HARAKAHDAILY 30/7/2020