Muslimat agih daging korban santuni MOSWAY

PAYA BESAR: Dewan Muslimat PAS Kawasan Paya Besar telah menjayakan program Korban Perdana yang memasuki tahun keenam penganjurannya bertempat di Balai Purnama, Chendering, Kuantan, di sini semalam.

Advertisement

Lapan ekor lembu telah dikorbankan dari penyertaan oleh penduduk tempatan dengan tiga daripadanya telah diurus sempurna sepenuhnya oleh tenaga ahli-ahli Muslimat PAS Paya Besar sendiri sebelum agihan.

Selain mengambil keberkatan merai dan menginsafi pengertian sebenar di sebalik ibadah korban, program ini juga bertujuan mengedarkan daging korban tersebut kepada penerima kategori MOSWAY.

Sekurang-kurangnya 150 bungkus telah diagihkan Muslimat PAS Paya Besar untuk kalangan penduduk miskin, orang kelainan upaya, sakit, wanita, armalah dan anak yatim (MOSWAY) di tiga DUN dalam Parlimen ini.

Turut hadir ialah Naib Ketua Muslimat PAS Paya Besar, Norsiah Shuib dan Pengerusi Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Paya Besar, Sabariah Muda serta Ahli-ahli Jawatankuasa yang lain.

Program bermula seawal jam 9:30 pagi seusai solat sunat Aidiladha dengan menyembelih semua lembu dan seterusnya diikuti aktiviti gotong-royong melapah dan memotong daging serta membungkus yang berakhir pada jam 1:30 petang.

Selain orang kampung dan peserta turun padang membantu, terdapat juga beberapa pelajar dari Universiti Malaysia Pahang turut bersama merasai kemeriahan Aidiladha di tempat perantauan mereka tidak pulang ke kampung.

“Kita mengharapkan agar program sebegini dapat diteruskan ke tahun-tahun hadapan dan mensasarkan lebih banyak lagi penyertaan tahun hadapan agar penerima yang menerima daging korban lebih ramai,” kata Pengarah Program, Aminah Othman. – HARAKAHDAILY 1/8/2020