Tulisan Jawi tidak menekan kaum lain

TEMERLOH: Penguatkuasaan tulisan Jawi ke atas semua papan tanda di negeri Pahang tidak memberikan satu tekanan ke atas masyarakat berlainan bangsa dalam negeri ini, bahkan mereka dapat menerimanya dengan baik.

Advertisement

Perkara itu diakui oleh tokoh masyarakat India di negeri ini, Senator Balasubramaniam Nachiappan, bahawa rakyat menerima polisi ini, tetapi hanya pimpinan DAP sahaja yang sengaja menimbulkan kekecohan hingga ke tahap mengheret ke mahkamah.

“Saya tidak setuju  dengan tindakan yang dilakukan oleh ADUN Tras tersebut dan saya percaya tindakan ini dilakukan dengan restu dari pimpinan DAP,” ujarnya.

Senator Bala yang berasal dari Jerantut menambah, penggunaan tulisan Jawi, termasuklah pelaksanaan mandatori dalam papan tanda tidak menyekat kebebasan mana-mana kaum atau agama.

“Kita sebagai rakyat yang berbilang bangsa dan agama harus bertolak ansur sesama kita dan menghormati titah baginda Al-Sultan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara, kesetiaan kepada raja dan negara,” katanya.

Seorang lagi tokoh masyarakat India, Dr Balachandran Gopal Krishnan pula menasihati anggota DAP agar belajar menyesuaikan diri hidup dalam suasana majoriti yang mereka rasa kurang selesa.

Ujarnya, DAP kena belajar cara bersopan dalam mengambil sebarang tindakan serta menimbangkan perkiraan pengalaman dari segala aspek kemajmukan serta terpenting juga pada sejarah.

“Perkara perkara yang melibatkan agama, bahasa dan bangsa tidak dapat diselesaikan secara ‘confrontational‘. Ia harus diselesaikan secara ‘consultative‘ dengan menghormati hak untuk memberi cadangan masing masing,” nasihatnya.

Beliau yang berasal dari Mentakab menambah peringatan supaya jangan jadikan ego untuk memecahbelahkan rakyat, sebaliknya semua ketidakpuasan hati wajib ditangani dengan pendekatan kasih dan sayang.

Kenyataan kedua-dua tokoh masyarakat India ini membuktikan bahawa masyarakat pelbagai kaum tidakpun merasakan satu tekanan dan bebanan serta didiskriminasi dengan ketetapan Kerajaan Negeri Pahang mewajibkan tulisan Jawi pada papan tanda perniagaan.

Bahkan mereka merasa sangat tidak selesa apabila ADUN Tras, Chow Yu Hui dari DAP cuba menangguk di air yang keruh dengan membawa isu berkenaan ke mahkamah. – HARAKAHDAILY 1/8/2020