DHPP P.Pinang jambatan PAS dan bukan-Islam

GEORGE TOWN: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pulau Pinang sejak pelancaran semulanya pertengahan Januari lalu sentiasa giat aktif melaksanakan pelbagai aktiviti khususnya menyantuni warga Pulau Mutiara.

Advertisement

Selari dengan keterbukaan PAS untuk semua dan menerima kemajmukan rakyat negara ini, DHPP Pulau Pinang telah menjadi jambatan penghubung secara khusus antara PAS dan masyarakat bukan-Islam di negeri ini.

Gandingan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi DHPP Pulau Pinang, K Jayaraman dan Steven Koh sentiasa turun ke lapangan bertemu masyarakat bukan-Islam dalam menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi atau diadukan.

Kehadiran mereka tidak terhad mengusahakan bantuan bagi keperluan golongan seperti miskin, orang kelainan upaya, sakit, warga emas atau anak yatim, termasuk juga dalam urusan melibatkan agensi kerajaan.

Antaranya melibatkan kes kematian atau prosedur atau proses rasmi yang berdepan birokrasi atau kegagalan dokumen dan makluman, termasuk juga keperluan bantuan berdasarkan hak dan peruntukan sedia ada.

Malah, perhatian dan keprihatinan mereka turut dicurahkan terhadap golongan terbiar atau gelandangan atau tidak dipedulikan di mana ianya menyerlahkan lagi sikap kemanusiaan dan semaian kasih sayang sesama insan.

Lantaran itu, pengaruh PAS dalam kalangan masyarakat bukan-Islam semakin dikenali dan tersebar luas hingga bukan sahaja membangkitkan sokongan dan dukungan, bahkan juga keyakinan yang disaksikan dari peningkatan keahlian DHPP.

Peranan Jayaraman dan Steven serta rakan-rakan mereka dalam DHPP Pulau Pinang ternyata banyak menyelesai serta melancarkan masalah atau kesulitan dihadapi, sekali gus menghubungkan masyarakat dengan PAS.

Semua digigihkan mereka ini tidak lain kerana melihat secara nyata peranan PAS dalam menghadirkan dan mensejahterakan kehidupan rakyat secara adil dan saksama serta membawa kesejahteraan dan keharmonian bersama. – HARAKAHDAILY 2/8/2020