PAS sokong pemerkasaan tulisan Jawi

PAS menyokong tindakan Kerajaan Negeri Pahang mewajibkan tulisan Jawi pada papan kenyataan dan premis perniagaan.

Advertisement

Ia adalah satu usaha untuk mengembalikan martabat tulisan Jawi sebagai salah satu teras kebudayaan negara. Banyak bangsa di dunia telah kehilangan tulisan, bahkan budaya dan adat resam mereka.

Tindakan itu juga untuk mengukuhkan semula asas pembentukan negara Malaysia yang dibina atas permuafakatan menerima Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan budaya Melayu sebagai teras kebudayaan.

Sejarah membuktikan perjanjian utama samada di era penjajahan atau sebelumnya ditulis dalam tulisan Jawi. Bahkan setiap pengisytiharan Majlis Raja-Raja, surat rasmi Kerajaan dan mata wang juga ditulis dalam tulisan Jawi.

Namun, sedikit demi sedikit tulisan Jawi dipinggirkan daripada kehidupan masyarakat hari ini. PAS melahirkan kebimbangan ini sejak penyata Khir Johari sekitar 1960-an yang memansuhkan penggunaan tulisan Jawi dalam sistem pendidikan negara.

Namun mutakhir ini, usaha untuk memperkasakan semula tulisan Jawi adalah tepat sebelum luput dan tidak dipedulikan lagi.

Mereka yang menentang usaha ini adalah golongan yang lupa daratan dan buta sejarah pembentukan negara. PAS turut menyeru agar semua negeri melaksanakan agenda pemerkasaan tulisan Jawi seperti Pahang bermula di papan tanda premis dan jalan.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
12 Zulhijjah 1441 Hijrah | 2 Ogos 2020 – HARAKAHDAILY 2/8/2020