PKPP tidak halang PAS Titiwangsa anjur korban

TITIWANGSA: PAS Kawasan Titiwangsa telah menyemarakkan syiar Nabi Ibrahim A.S dengan mengadakan majlis ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di Markas PAS Darul Ummah, Kampung Pandan, di sini kelmarin.

Advertisement

Selain menghayati erti pengorbanan sebagaimana yang dituntut oleh agama, majlis ini juga mempertautkan hubungan sesama masyarakat setempat dan jiran tetangga setelah ‘terkurung’ di kediaman.

Walaupun Aidiladha kali ini masih disambut dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun ianya dapat dirai dengan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) diselaraskan pihak berkuasa.

Semua lima ekor lembu korban telah disembelih di kandang lembu di Sungai Buaya, Hulu Selangor sebelum dibawa ke sini untuk kerja-kerja melapah diikuti pengagihan kepada warga asnaf  di sekitar Parlimen ini.

Program tahunan yang dirasmikan Yang DiPertua PAS Titiwangsa, Khairul Anuar Abd Manap ini telah dapat menyediakan sebanyak 200 bungkus daging korban di mana sangat memberi manfaat kepada kalangan asnaf terutamanya.

Terdahulu, solat sunat Aidiladha telah dilangsungkan dengan diimamkan oleh Muammre Nasuha Hoslan, manakala khutbah disampaikan Ketua Urusan Ulamak PAS Titiwangsa, Ustaz Suridzal Abdul Rahim. – HARAKAHDAILY 2/8/2020