Dar Al-Abrar himpun semangat korban Aidiladha

BENTONG: Dewan Muslimat PAS Kawasan Bentong menerusi Lajnah Ekonomi telah menyempurnakan ibadah korban yang julung kalinya dilaksanakan di Pusat Tahfiz Dar Al-Abrar, di sini hari ini.

Advertisement

Program ini juga telah dilangsungkan dengan kerjasama PAS Kawasan Bentong, PAS DUN Ketari, Abrar Care Malaysia (ACM), Cakna Rakyat (CR) dan Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Bentong.

Objektif daripada program ini selain memenuhi tuntutan ibadah, juga untuk membantu mengumpul kewangan Muslimat PAS Bentong agar dapat melaksanakan program korban pada setiap tahun.

Turut terlibat dalam majlis gotong-royong korban ini antaranya Timbalan Yang DiPertua PAS Bentong, Ustaz Roslan Md Esa yang juga Penyelaras DUN Ketari serta NGO GENERASI dan NGO Geng Ustaz.

Sebanyak lima ekor lembu di mana dua ekor daripadanya disumbang Muslimat PAS Bentong manakala selebihnya pemberian dalam kalangan NGO GENERASI, Geng Ustaz dan PAS DUN Ketari serta awam.

Terdahulu enam ekor lembu telah disembelih kelmarin di mana aktiviti melapah, pembungkusan, pembahagian dan edaran daging di sekitar DUN Ketari dan seluruh Bentong dijayakan semua pihak yang terlibat.

Pengerusi Lajnah Ekonomi Muslimat PAS Bentong, Suriati Mansor  berkata, amalan mulia program ini patut menjadi sebahagian keutamaan Muslimat agar dapat memperolehi ganjaran Allah di akhirat kelak.

Manakala Ketua Muslimat PAS Bentong Roslin Jidin berkata, pihaknya akan melaksanakan kaedah kutipan secara bulanan agar peserta mampu menyertai serta berlaku pertambahan penyertaan korban setiap tahun. – HARAKAHDAILY 3/8/2020