Patuhi arahan, langkah terbaik atasi COVID-19

covid

SUNGGUH mengejutkan, apabila kes COVID-19 yang sedang berada di peringkat terkawal di seluruh negara, tiba-tiba terdapat 11 kes positif dalam sehari di Negeri Kedah. Ia sangat membimbangkan, di samping meresahkan banyak pihak yang berharap suasana pulih seperti sediakala. Lebih-lebih lagi sektor ekonomi yang terjejas teruk. Begitu juga bidang pendidikan, di mana para pelajar baru sahaja kembali ke sekolah untuk menyambung pembelajaran.

Penularan kes terbaru COVID-19 di Negeri Kedah jelas adalah dari kluster Sivagangga. Ia berpunca dari seorang peniaga restoran yang pulang dari Sivagangga, India sepatutnya menjalani kuarantin di rumah atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia, lalu melanggar arahan kuarantin dan terus berada di restoran yang dipenuhi pelanggan.

Advertisement

Ia menjadi iktibar bahawa kegagalan mana-mana individu untuk mematuhi arahan pihak berwajib boleh menyusahkan semua orang. Sebab itu Islam sangat menekankan supaya setiap rakyat taat kepada arahan oleh ‘ulilamri (pemerintah). Kerajaan yang memiliki segala bidang kepakaran, khususnya dalam menangani pandemik COVID-19, lebih tahu apa yang terbaik untuk rakyat:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

“Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kepada) ulil amri (para pemimpin) dari kalangan kamu.”

(al-Nisa’: 59)

Usaha dan ikhtiar kita untuk mengatasi COVID-19 masih belum berakhir. Selama tempoh tersebut, patuhilah semua SOP dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan sekalipun kadang kala kita tidak begitu selesa dengan norma baru tersebut. Lumrahnya, setiap ubat pahit untuk ditelan, namun kebaikan dan kesejahteraan berada di penyudahnya.

Marilah seluruh rakyat negeri ini tidak menghentikan doa dan munajat ke hadrat Allah S.W.T supaya membebaskan kita seluruhnya dari pandemik COVID-19.

USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah
3 Ogos 2020 – HARAKAHDAILY 3/8/2020