Politik stabil mampu tarik minat pelabur

PASIR PUTEH: PAS berharap gabungan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir kerajaan persekutuan sekarang terus disokong rakyat.

Timbalan Muryidul Am PAS Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, melalui sokongan itu PN dapat mentadbir negara dengan lebih lancar.

Advertisement

Katanya, sokongan itu juga penting bagi kestabilan negara terutamanya untuk menarik kehadiran pelabur dan pemain-pemain industri.

“Yang penting bagi sesebuah negara ialah kestabilan politik. Apabila politik stabil boleh menarik minat kehadiran pelabur.

“Sebaliknya kalau politik negara tidak stabil pentadbiran negara boleh berubah pada bila-bila masa,” katanya selepas melawat Kapal Maritim Tok Bali di jeti Tok Bali Supply Base di sini hari ini.

Kapal canggih milik Maritim Malaysia Cawangan Kelantan itu berperanan mengawal perairan Kelantan terutamanya menghalang pencerobohan nelayan asing.

Ditanya komitmen kerajaan pusat membayar royalti petroleum kepada Kelantan, kata Menteri Besar apabila negeri dan Persekutuan berada dalam satu bahtera perbincangan boleh diadakan dengan lebih mudah.

Minggu lepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato’ Seri Mustapa Mohamed memberitahu parlimen Kelantan turut disenarai menerima bayaran tunai royalti petroleum sebanyak 5 peratus. – HARAKAHDAILY 3/8/2020