Realisasikan korban secara sistem ‘kutu’

INDERA MAHKOTA: Komuniti Masyarakat, Grop Ngeteh Balok Perdana (GNBP) telah berjaya melaksanakan ibadah korban  dengan sistem ‘kutu’ sambil menderma ke tabung pembangunan Surau As-Syakirin, di sini kelmarin.

Advertisement

Ibadah Korban seumpama ini telah dilaksanakan oleh GNBP selama tiga tahun berturut-turut bermula sejak tahun 2017 di mana inisiatif ini diadakan dengan kerjasama Pengurusan Surau Al Syakirin Taman Balok Perdana dipengerusikan Norazam Urif.

Kutipan pertama mula dibuat pada bulan Ogos tahun 2019 dengan harga RM650 seekor manakala bayaran bulanannya ialah RM60 selama 10 bulan dan bayaran terakhir RM50 dilakukan ke atas semua 65 peserta.

Antara disediakan pengurusan NGBP diketuai Mohd Asri Mohd Nor dan pembantunya, Razali Mohd Nor ialah sehelai bahu-T sebagai pakaian seragam lengkap dengan pakej sarapan dan makan tengahari.

ADUN Beserah Andansura Rabu merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, turut menyertai ibadah korban di sini dan menyampaikan agihan kepada masyarakat setempat yang terdiri daripada fakir miskin, ibu tunggal dan warga emas.

Tidak dilupakan agihan juga disampaikan kepada petugas barisan hadapan negara yang terdiri daripada anggota Balai Polis Gebeng dan kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan.

Walaupun ‘dikekang’ prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pihak pengurusan telah berjaya menyelesaikan program sebelum azan Zohor berkumandang. – HARAKAHDAILY 3/8/2020