Tempat berteduh orang susah, berbakti orang kaya

PERNAH berlaku dalam satu mesyuarat penting, Menteri Besar (MB) memulakan mesyuarat dengan menunjukkan sekeping gambar kepada ahli mesyuarat yang lain. Gambar itu adalah gambar seorang penoreh getah yang terpaksa membawa anaknya yang masih kecil bersama-samanya pergi menoreh.

“Ibu ini terpaksa membawa anaknya yang masih kecil pergi menoreh kerana tidak mampu menggajikan orang lain untuk menjaga anaknya”, MB memulakan bicaranya, tangannya masih memegang Ipad yang ada gambar penoreh tersebut.

“Saya sedih melihat gambar ini. Rakyat kita susah, miskin. Tapi masih lagi ada pemimpin dan orang-orang politik yang menggunakan kuasa dan pengaruh masing-masing untuk mencari kekayaan dan habuan untuk diri sendiri!”. MB menyambung ucapannya, kali ini nadanya lebih tegas daripada sebelumnya.

Advertisement

“Tangan orang miskin inilah yang mengangkat pemimpin-pemimpin untuk menyusun urusan hidup rakyat, termasuk urusan hidupnya”.

Suara MB mula tersekat-sekat. Bola matanya mula bergelinang dengan air. Air yang biasa tumpah bila MB bercerita mengenai orang miskin. Bukan kerana cerita itu, tapi kerana watak di dalam cerita itu ialah MB sendiri. MB sendiri bergelumang dengan kemiskinan bersama ayahanda bonda serta adik beradik sedarah sedagingnya.

Selang beberapa detik setelah emosi MB kembali stabil, MB menyambung bicara yang terhenti seketika tadi.

“Tapi bila jadi pemimpin, ahli-ahli politik mula memikirkan mengenai diri sendiri, fikir macam mana nak kaya. Lagu mana nak ambil projek ini supaya dapat pada kawan-kawannya, supaya dia dapat tumpang kekayaan itu!”.

Kata-kata MB kali ini sangat tajam. Setajam pandangan matanya kepada semua ahli-ahli mesyuarat di hadapannya. Masing-masing terdiam, tunduk dan sepi. Seperti akur dan mengiyakan apa yang MB sebutkan.

“Bila pemimpin dapat kuasa dan kedudukan, gambar orang yang memotong (penoreh getah bersama anaknya) itu, sedikit pun tidak ada dalam pemikiran mereka!”.

MB seperti menggulung ucapannya. Nadanya masih tegas. Wajahnya serius. Matanya masih merah berair. Tangannya masih menunjukkan gambar penoreh getah yang ada dalam Ipadnya sejak memulakan bicaranya tadi.

Walaupun ini bukan kali pertama MB sebak ketika bercerita mengenai keadaan orang miskin, tapi ini adalah kali pertama MB sebak dan tegas ketika bercerita mengenai orang miskin, di hadapan orang-orang penting yang ada kuasa dan pengaruh.

Begitulah watak MB. Tegas dengan prinsip. Mudah simpati dan tersentuh dengan orang yang miskin. Itulah dirinya yang sebenar. Seorang budak kampung yang pernah miskin serta susah ketika zaman kecilnya. Budak kampung itu kini diberi tugas sebagai ketua kerajaan di Negeri Kedah Darul Aman.

“Kedah, tempat berteduh orang-orang susah, tempat berbakti orang-orang kaya”. Inilah ayat yang selalu diulang-ulang oleh MB. Inilah visi dan misinya.

Untuk berjaya, perlu berkorban. Orang susah berkorban, orang kaya juga berkorban.

Ayuh kita berkorban untuk mendukung visi dan misi ini. Selamat Hari Raya Korban.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

AFNAN HAMIMI
Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 3/8/2020